HERAKLION: Pulau Crete di Greece kini diselubungi debu tebal dari Gurun Sahara susulan tiupan angin kencang dan kejadian puting beliung yang membadai wilayah tersebut.
Fenomena ekstrem ini bukan sahaja menukarkan warna langit menjadi jingga yang menyeramkan, malah memaksa penerbangan pelancong sempena cuti Easter dari United Kingdom (UK) dilencongkan.
Gangguan perjalanan berlaku apabila debu tebal dari Afrika itu menjejaskan jarak penglihatan, sehingga melumpuhkan operasi di Lapangan Terbang Heraklion.
Sekurang-kurangnya dua penerbangan terpaksa dilencongkan selepas jarak penglihatan merosot sehingga 1,000 meter.
Ia merupakan tahap yang dianggap tidak selamat untuk pendaratan. Sebuah pesawat British Airways dari London terpaksa dilencongkan ke Pulau Corfu, manakala penerbangan SKY Express dari Brussels melencong ke Athens.
Selain gangguan udara, kejadian dramatik turut dilaporkan di darat apabila sebuah puting beliung kuat menterbalikkan sebuah trak di kawasan pesisir pantai Pachia Ammos ketika mahu memuatkan hasil eksport pertanian.
Cuaca buruk itu juga mengakibatkan pokok tumbang, kerosakan rumah hijau dan menyebabkan sebahagian dinding sebuah kilang seramik runtuh.
Sementara itu, di Ierapetra, ombak besar dilaporkan melimpah sehingga ke kawasan perumahan di bandar lama akibat angin kencang dari arah selatan yang mencetuskan keadaan pantai yang berbahaya.
Landskap di bandar Heraklion kini menyerupai padang pasir Sahara dengan debu tebal yang hampir menutup sepenuhnya pemandangan di kawasan pelabuhan.
Kualiti udara dilaporkan berada pada tahap sangat membimbangkan. Kepekatan zarah debu sangat tinggi, menjadikannya berbahaya terutama bagi penduduk yang mengalami risiko kesihatan. – AGENSI










