SAM kecewa keputusan kerajaan lanjut lesen operasi Lynas - Utusan Malaysia

SAM kecewa keputusan kerajaan lanjut lesen operasi Lynas

SAM kecewa dengan keputusan terkini kerajaan yang melanjutkan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan terkini kerajaan yang melanjutkan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026.

Setiausaha Kehormatnya, S. Mageswari berkata, pihaknya juga keliru dengan pusingan U yang dibuat oleh kerajaan itu yang berbeza daripada keputusan awal.

S. MAGESWARI

“Kerajaan mesti menjelaskan mengapa perubahan ini berlaku sedangkan sebelum ini kerajaan mengambil berat tentang komponen radioaktif dalam aktiviti syarikat Lynas.

”Kami amat kecewa dengan keputusan terkini kerajaan yang melanjutkan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026,” katanya di sini hari ini.

Operasi lesen Lynas Malaysia telah diperbaharui, justeru membolehkan syarikat itu terus mengimport dan memproses nadir bumi sehingga Mac 2026.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, keputusan itu dibuat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang bersidang pada 23 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mageswari berkata,
menurut kenyataan media MOSTI, keputusan bahawa aktiviti Cracking & Leaching (C&L) syarikat akan diteruskan tertakluk kepada syarat Lynas iaitu mereka hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan.

Sedangkan, tegas beliau, paras semasa komponen radioaktif adalah pada 6-7 Bq/g sekali gus mempersoalkan bagaimana pakar tempatan dapat menurunkan ke paras di bawah 1 Bq/g seperti disyaratkan.

”Nampaknya keputusan LPTA adalah berdasarkan penemuan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahan radioaktif daripada thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304),” katanya.

Tambahnya, tiada penjelasan juga diberikan tentang bagaimana tahap radioaktif itu dapat diturunkan.

”Adakah kajian tempatan ini termasuk penyelidikan CondiSoil yang telah ditolak sebelum ini atau percubaan makmal lain yang belum terbukti?

“Orang ramai memerlukan ketelusan dan kementerian perlu menjelaskan butiran penyelidikan.

”SAM amat keliru dengan penjelasan ini dan menyeru untuk kerajaan lebih telus dan membuat pendedahan awam tentang kajian ini dan butirannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya