Rokok seludup bernilai RM1.28 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok seludup bernilai RM1.28 juta dirampas

MAZLI Mazlan (kiri) memeriksa rokok seludup  yang dirampas di Kampung Pachakan, Kuala Besut, Besut, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Polis merampas rokok disyaki diseludup bernilai RM1.28 juta selepas memeriksa sebuah lori  yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini pada Ahad lalu. 

Pemeriksaan terhadap lori tersebut pada pukul 12 tengah hari menjumpai 760,000 batang rokok jenama terkenal yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori mencurigakan itu yang disyaki nosengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan pada pukul 9 pagi.

“Intipan dan pemerhatian telah dilakukan selama tiga jam sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap lori terbabit. 

“Pemeriksaan mendapati kenderaan berat tersebut mengandungi 76 peti berisi 50 karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam. 

Mazli berkata, siasatan awal percaya anggota sindiket sengaja meninggalkan lori tersebut di tepi jalan bagi mengelak terperangkap dalam sekatan jalan raya. 

Tambah beliau, pihaknya percaya rokok jenama terkenal yang diseludup masuk dari negara jiran tersebut sedang dibawa untuk pasaran Lembah Klang atau selatan tanah air. 

“Kita memang sentiasa memantau aktiviti penyeludupan termasuk rokok kerana daerah ini sering dijadikan transit  setelah barangan seludup terbabit dibawa masuk dari negara jiran. 

“Biasanya barangan seludup itu akan dibawa keluar dari Terengganu ke destinasi terlibat menerusi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2),” katanya. 

Mazli berkata, nilai rokok yang dirampas ialah RM340,000 manakala cukai tidak dibayar pula bernilai RM836,000. 

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori bernilai RM100, 000 yang didaftarkan di Batang Kali, Selangor bagi membantu siasatan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya