RM52.8 juta saman tertunggak, Selangor tertinggi - Utusan Malaysia

RM52.8 juta saman tertunggak, Selangor tertinggi

Saman tertunggak
ANGGOTA JPJ memeriksa sebuah lori ketika melalui sekatan jalan raya dekat Lebuhraya Kesas dalam Op Patuh Khas 2023 Fasa 2 di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 175,909 saman aktif daripada kenderaan komersial di seluruh negara yang dianggarkan bernilai RM52.8 juta sejak Januari 2018 hingga September lalu masih belum dijelaskan.

Selangor mencatatkan jumlah tunggakan saman paling tinggi bagi kategori kenderaan tersebut iaitu 61,940 saman melibatkan anggaran nilai sebanyak RM18.6 juta dalam tempoh sama.

Diikuti dengan Pahang dan Perak masing-masing mencatatkan jumlah saman aktif bagi kenderaan komersial sebanyak 16,372 dan 13,790 dengan nilai kompaun keseluruhan dianggarkan sebanyak RM9 juta.

Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, JPJ kini sedang melaksanakan Operasi (Op) Patuh Khas 2023 Fasa 2 melibatkan kenderaan komersial bagi mengesan kenderaan atau pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Ia merupakan satu ketirisan kepada pematuhan, kita melihat kepada pematuhan supaya mereka menyelesaikan saman-saman tersebut seterusnya melaksanakan pemutihan kepada pemandu atau syarikat mereka sendiri.

“Tempoh sudah diberi apabila saman dikeluarkan, mereka diberi tempoh untuk hadir di mahkamah, tetapi mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab, seterusnya inilah tindakan susulan yang diambil oleh JPJ dalam masa sebulan ini,” katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.

Dalam Op Patuh Khas 2023 Fasa 2 yang bermula malam tadi di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), JPJ memeriksa 323 kenderaan termasuk lori dan bas dan sebanyak 245 notis dikeluarkan terhadap pemandu.

Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada lesen memandu (19) atau tamat tempoh (5), tiada lesen pembawa barangan (21), lesen kenderaan motor  tamat tempoh (31), tiada perlindungan insurans (19), lebih muatan (13) dan sebagainya.

Daripada jumlah itu juga, sebanyak 166 saman dan 29 notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan selain dua kenderaan ditahan pasukan penguatkuasa itu.

Lokman menjelaskan, pemeriksaan dan tindakan terhadap kenderaan terbabit diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Akta Pengangkutan Awam Darat, Akta Perlesenan Kenderaan Pelancongan dan sebagainya.

“Saya ingin menegaskan Op Patuh Khas ini adalah semata-mata untuk memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya khususnya kali ini kepada kenderaan komersial supaya memberi penekanan kepada respect of law.

“Yang mana kita harap kepada semua pengguna terutama kenderaan komersial menekankan peraturan-peraturan dan menghormati undang-undang yang mana akan menentukan tahap keselamatan jalan raya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya