PETALING JAYA: Usaha kerajaan memastikan reformasi sistem subsidi supaya lebih bersasar melalui pembentangan Belanjawan 2024 disaran tidak menjadi sekadar retorik kosong.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah reformasi subsidi merupakan satu usaha yang baik dengan kerajaan diharap akan meneruskannya seperti yang dibentangkan.
“Cuma saya bimbang kerana retorik mengenai mereformasi subsidi ini sudah kita dengar daripada kerajaan sejak Disember 2022 lagi.
“Tetapi pelaksanaan yang bermakna masih tidak kelihatan. Jangan pula ucapan ini menjadi retorik kosong juga akibat pelaksanaan yang lemah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu Wan Saiful menyifatkan harga lantai bagi belian padi pada RM1,500 per tan adalah lebih wajar berbanding RM1,300 yang diumumkan semalam.
Katanya, ini kerana jumlah RM1,300 itu tidak mencukupi untuk membolehkan pesawah menampung kenaikan mendadak kos-kos input dalam penanaman padi.
“Selain itu, semasa saya bertemu dengan nelayan di Tasek Gelugor, permintaan mereka ialah supaya elaun sara hidup nelayan dinaikkan ke RM500 sebulan. Tetapi kerajaan menetapkannya pada RM300 sahaja.
“Saya juga menanti perincian konsep Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disebut dalam ucapan. Jika ia bermaksud pencarum boleh mengeluarkan dana caruman pada bila-bila masa, maka ini adalah kejayaan awal gerakan rakyat menuntut pengeluaran KWSP bersasar. Tetapi kalau terlalu banyak sekatan dikenakan, maka ia tidak mencapai matlamat,” katanya.
Beliau pada masa sama menyifatkan pengecualian cukai bagi perusahaan sosial adalah langkah yang baik.
“Saya mengharapkan agar sokongan kerajaan kepada perusahaan sosial di negara kita jangan terhad kepada percukaian sahaja.
“Kita mesti meneroka kemungkinan mewujudkan status undang-undang khusus bagi perusahaan sosial seperti Syarikat Kepentingan Komuniti (CIO) yang ada di United Kingdom (UK),” katanya. – UTUSAN