PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mempertimbang keperluan untuk meletakkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen-stesen minyak di sempadan negara bagi tujuan keselamatan susulan isu penyeludupan bahan api.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berkongsi beberapa siri penahanan khususnya di stesen-stesen minyak di sempadan negara.
“Jemaah Menteri melihat aspek keselamatan perlu dipertingkatkan dan sedia mempertimbang keperluan kehadiran anggota polis bagi memastikan aspek keselamatan di stesen-stesen minyak di sempadan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan pada Isnin lalu.
Fadilah berkata, mesyuarat sama turut bersetuju menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang dikenal pasti bagi membendung ketirisan iaitu sektor darat akan diterajui KPDN, sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 5 April lalu telah merekodkan nilai rampasan barangan bersubsidi lebih RM2 juta melibatkan 8,148 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 155 kes.
Sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM2.1 juta, 47 kes RON95 (RM51,299), 21 kes gas petroleum cecair (RM37,822) dan 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum.-UTUSAN










