TELUK INTAN: Pelanggan memilih membeli beras import secara ‘timbang kilo’ disebabkan tidak mampu berikutan harga beras kampit import yang mahal.
Peniaga di pasar besar di sini, Chong Chin On, 67, berkata, ramai pelanggan membeli beras kilo berat antara satu atau dua kilogram disebabkan tidak mampu dan mahu berjimat.
Menurutnya, beras kilo lebih murah iaitu RM4 sekilogram berbanding beras kampit import.
“Ramai pelanggan datang ke kedai saya membeli beras timbang kilo, satu atau dua kilogram setiap seorang kerana mereka tidak mampu membeli beras kampit import yang mahal.
“Beras kilo cuma RM4 sekilogram, dapatlah mereka berjimat, mereka tidak mampu nak beli beras kampit. Kebanyakan mereka beli beras kilo sekilogram atau dua kilogram.
“Memang ada tawaran beras kampit bagi berat 10 kilogram berharga RM26 tetapi jumlahnya tak banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, dia tidak mengambil untung banyak menerusi jualan beras kilo kerana mahu membantu pelanggan.
Katanya, dia membeli beras guni bagi berat 50 kilogram pada harga lebih RM190 atau RM195 dan menjualnya pada harga RM4 sekilogram.
“Saya jual RM4 sekilogram, untung hanya lima sen bagi setiap kilo, memang tak banyak untung tapi tak apa sebab nak tolong pelanggan semasa harga beras tinggi sekarang,” katanya. – UTUSAN










