Pusat hiburan dikuasai warga asing digempur Bukit Aman

Pusat hiburan dikuasai warga asing digempur Bukit Aman

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited menggempur pusat-pusat hiburan yang dikuasai warga asing di ibu negara selepas empat premis di Kompleks Wilayah, Jalan Dang Wangi diserbu awal pagi semalam.

Dalam serbuan pada pukul 2.45 pagi itu, seramai 38 lelaki warga asing ditahan termasuk pengurus dan pekerja.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan terhadap premis berkenaan mendapati, pengurus dan penolong pengurus serta pekerja pusat-pusat hiburan iu adalah warga Bangladesh dan pelanggannya juga majoritinya warga negara itu.

“Kita tengok mereka sudah menjadi pengurus, jadi penolong pengurus, jadi GRO (pelayan pelanggan) dan jadi pelanggan tempat mereka sendiri seolah-olah pusat hiburan diuruskan warga asing.

“Perkara ini ada kaitan dengan kehadiran (kemasukan) warga asing di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Rusdi berkata, menerusi serbuan itu, PDRM khususnya JSJ mahu membendung pembabitan warganegara asing dalam kegiatan pusat hiburan.

“Pada masa ini kita dapati ramai mereka menjadi pengurus, pekerja dan pelanggan, terutama dalam serbuan kali ini.

“Selain itu, operasi ini memfokuskan untuk melaksanakan National Guideline Of Human Traffickingn Indicators (NGHTI) 2.0 untuk mengesan sekiranya ada warga asing menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu ekploitasi buruh paksa,” katanya.

Kata beliau, siasatan masih dijalankan sekiranya wujud sebarang unsur pemerdagangan orang terutama membabitkan GRO yang diperiksa dalam operasi itu.

“Buat masa ini, kita mendapati mereka semua mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun pada masa sama, kita juga buat semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen.

“Perkara ini (semakan) ini akan mengambil sedikit masa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen  6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 12 (1)(F) Akta Pasport,” katanya.

Media melaporkan, JSJ Bukit Aman menggempur empat premis hiburan milik warga asing di Kompleks Wilayah dan menahan 38 individu yang didapati melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN