Purata penggunaan katil hospital di Kedah tinggi

Purata penggunaan katil hospital di Kedah tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penggunaan katil di wad hospital-hospital kerajaan di negeri ini secara purata harian melebihi 80 peratus tetapi bagi hospital-hospital utama melebihi 90 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Othman Warijo berkata, ketika ini terdapat 2,897 katil disediakan di semua 10 buah hospital di Kedah.

DR. OTHMAN WARIJO

“Namun penggunaan katil di hospital-hospital pakar major iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Kulim melebihi 90 peratus.

“Purata kadar pengisian katil di lima hospital tanpa pakar pula adalah antara 50 peratus hingga 70 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Dr. Othman, pihaknya telah mengambil beberapa langkah yang dilihat berjaya mengurangkan kesesakan yang berlaku di ketiga-tiga hospital pakar major tersebut.

“Pendekatan desentralisasi perkhidmatan kepakaran, proses ‘lean’ dan pengagihan pesakit mengikut konsep hospital kluster telah berjaya menurunkan masa menunggu di jabatan kecemasan hospital pakar major.

“Langkah itu juga membantu meningkatkan kadar pengisian katil di hospital lain daripada hanya tertumpu kepada hospital pakar major,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, proses desentralisasi pakar-pakar perubatan am (internal medicine) telah ditempatkan di semua hospital di Kedah.

“Pihak kami turut menyediakan perkhidmatan pakar oftalmologi di Hospital Jitra dan pakar urologi di Hospital Yan sebagai sebahagian daripada langkah desentralisasi itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN