GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran luar negara dengan menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Batu Caves, di sini pada 15 Oktober lalu.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu dijalankan hasil maklumat orang awam selain merampas dadah jenis methamphetamine seberat 93.824 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang mekanik warga tempatan berusia 34 tahun di sekitar Batu Caves, di sini.
Katanya, penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan bungkusan lutsinar berlabel teh cina mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 68.6 kg yang disimpan dalam sebuah kereta Nissan Almera diparkir berhampiran kawasan berkenaan.
“Kita turut menemukan 25 bungkusan sama yang mengandungi dadah jenis methampetamine seberat 25.26 kg di bahagian bonet kereta kenderaan berkenaan.
“Susulan itu kita menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun dipercayai ahli sindiket di sebuah kondominium berhampiran lokasi serbuan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Gombak hari ini.
Menurut Hussein, siasatan mendapati modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan premis seperti kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedar ke pasaran luar negara
Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua tangkapan berperanan sebagai ‘transporter’ dan serbuan dibuat ketika dadah itu sedang transit dari satu tempat sebelum diambil ke tempat lain
“Pemeriksaan mendapati suspek pertama mempunyai rekod lampau bersabit dua kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Isnin lalu hingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah Hussein, pihaknya turut menyita dua kereta jenis Proton Perdana dan Toyota Estima dan wang tunai RM500 dan keseluruhan sitaan dan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3.22 juta.
“Kita percaya dadah dirampas boleh dibekal kepada 187,000 pengguna sehari.
“Pihak polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan,” katanya. -UTUSAN









