Polis serbu 1,785 lokasi judi dalam talian, loteri tanpa lesen seluruh

Polis serbu 1,785 lokasi judi dalam talian, loteri tanpa lesen seluruh negara

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 8,830 individu diperiksa dalam Op Dadu Khas selepas 1,785 lokasi diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.

Operasi itu dijalankan dalam tempoh dua minggu bermula 22 September hingga 5 Oktober lalu.

Penyelarasan operasi tersebut dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dengan menggerakkan D7, Unit Pencegahan Judi dan Maksiat dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen setiap negeri.

Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 735 serbuan dilakukan dengan 7,761 individu diperiksa bagi judi dalam talian di seluruh negara.

“Daripada keseluruhan jumlah yang diperiksa, 802 orang berjaya ditahan membabitkan 658 lelaki dan 144 wanita.

“Bagi loteri awam tanpa lesen pula, 1,050 serbuan dilakukan dan pemeriksaan membabitkan seramai 1,069 orang terdiri daripada 901 lelaki dan bakinya adalah wanita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily memaklumkan serbuan tertinggi direkodkan bagi kes judi dalam talian adalah membabitkan Kontinjen Sarawak dengan 151 serbuan diikuti Kontinjen Pulau Pinang (95) dan Kontinjen Selangor (83).

Tambah beliau, serbuan tertinggi bagi loteri awam tanpa lesen pula direkodkan oleh Kontinjen Johor dengan 179 serbuan, Kontinjen Selangor (141) serta Kontinjen Perak sebanyak 102 serbuan.

“Dalam konteks rampasan judi dalam talian membabitkan wang tunai sebanyak RM108,325 dan 20 unit moden, router (12 unit), tablet (3), laptop (1), telefon bimbit (792) membawa kepada nilai anggaran RM513,025.

“Selain itu, rampasan loteri awam tanpa lesen membabitkan wang tunai bernilai RM161,426 diikuti mobile printer 467 unit,  telefon bimbit (907) menjadikan rampasan keseluruhan RM679,816 ,” jelasnya.

Mohd Shuhaily berkata, dalam 735 kertas siasatan membabitkan judi dalam talian dibuka, 123 daripadanya dituduh di mahkamah dan 31 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) 581 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat.

“Bagi judi ekor pula, 1,050 kertas siasatan dibuka, 257 daripadanya dituduh di mahkamah dan 12 diklasifikasikan sebagai NFA manakala 781 lagi masih dalam tindakan pegawai penyiasat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shuhaily menegaskan kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a), 4(1)(c), 9(1) dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kita dapati beberapa modus operandi terbaharu yang dilakukan sindiket bagi menyukarkan pertuduhan dilakukan seperti mewujudkan orang tengah dan pelaku tidak pernah melihat orang tengah ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN