PN akui peluang seimbang menang Pelangai - Utusan Malaysia

PN akui peluang seimbang menang Pelangai

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Perikatan Nasional (PN) mengakui peluang seimbang dengan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, namun beliau yakin untuk mendahului pencabar menerusi kempen pecutan akhir yang mampu memberi kelebihan kepada calon PN, Kasim Samat.

Selain itu katanya, PN yakin kemenangan kerana mempertaruh calon yang merupakan anak tempatan yang tinggal dalam kawasan.

“Kita tahu calon sebelah sana pun anak tempatan tapi adakah beliau boleh berada dalam kawasan apabila dipilih? Tapi calon kita, kita jamin. Beliau duduk di sini dan settle down dalam kawasan ini. Bagi kawasan seumpama Pelangai ini yang penting adalah perkhidmatan wakil rakyat terus kepada rakyat.

“Walaupun kita sebagai pembangkang di Pahang kita boleh memainkan peranan melalui suara kita dalam DUN atau dalam tindakan hubungan kita dalam jabatan kerajaan membawa segala masalah rakyat kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana PN PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai, semalam.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pihaknya juga mengakui program ceramah PN sepanjang kempen PRK Pelangai tidak menerima sambutan orang ramai kerana bukan berada dalam kawasan bandar.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja berlaku kepada PN namun terhadap parti dan jentera lain yang bertanding dalam PRK tersebut.

Namun beliau yakin usaha merampas Pelangai amat memberangsangkan menerusi kempen turun pandang dan bersemuka bersama para pengundi sejak hari pertama kempen.

“Program ceramah sebagaimana kita maklum kawasan yang agak bukan terdedah sangat dengan bandar, saya rasa mana-mana pihak tak menarik perhatian, kecuali kalau di peringkat yang besar macam malam tadi ramai.

“Kita ada satu program grand finale pada Jumaat malam Sabtu ini, kita jangka kehadiran akan lebih bertambah. Ia dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan pemimpin Gerakan,” katanya.

Mengulas dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan bakal terpilih sebagai Menteri Besar Pahang, Takiyuddin berkata, mana-mana ADUN PN berpeluang menjadi Menteri Besar jika berlaku pertukaran kerajaan.

“Kalau sekiranya parti mempunyai majoriti mudah, boleh jadi. Sesiapa saja ADUN, jadi Tuan Ibrahim salah satu ADUN di Pahang, jadi peluang tu tetap ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN