CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah ekoran kelantangan negara berhubung isu Palestin.
Beliau berkata, dalam hal itu, Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak akan menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini.
“Ada Ahli Parlimen Eropah, kita beri keterangan jelas dengan kenyataan mereka dan ada yang usul langsung… kita usah risau berhubung perkara itu, kita ada urusan kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia di sini, semalam
Kelmarin, dalam Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Bukit Jalil, Anwar mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak takut dengan ugutan tersebut malah akan terus mempertahankan Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu,penganalisis politik antarabangsa, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Malaysia tidak boleh melakukan ‘pusingan U’ dalam isu Palestin semata-mata bimbang akan menerima tindak balas AS dan sekutunya apabila negara ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peluang perdagangan, ekonomi dan pelaburan mereka.
Kata beliau, sebaliknya AS dan sekutunya perlu bimbang dengan kemunculan China dan Russia sebagai kuasa besar apatah lagi mereka kini dilihat cenderung kepada Palestin sejak kebelakangan ini.
“Memang tidak dinafikan jika ada negara dan pihak cenderung mempertahankan rakyat Palestin, AS dan negara Barat akan mencari jalan untuk memberi tekanan sama ada daripada segi ekonomi, perdagangan dan teknologi sehingga ada terpaksa tunduk dengan mereka. Tetapi kita juga jaringan kerjasama bersama negara lain seperti China.
“Malangnya keadaan kini sebaliknya apabila AS dan sekutunya berhadapan masalah ekonomi dan dalaman sehingga ketinggalan jauh berbanding China dan Russia. Namun, mereka masih berlagak juara kuasa dunia sedangkan sedang melalui masa depan yang malap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, Chandra yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) berkata, Malaysia merupakan sebuah berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara sejak 1957 kerana memilih dasar bersahabat dengan semua pihak.
Namun, katanya, semua negara Islam termasuk Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang tindak balas dan tekanan ekoran kelantangan dalam memperjuangan nasib rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan oleh Zionis.
Mengulas isu sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada kompromi dalam soal keselamatan membabitkan pemimpin negara ini dan sudah pasti kawalan keselamatan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.
“Dari segi kawalan, kita (PDRM) akan tambah pengawal peribadi bagi memastikan keselamatan beliau sentiasa terjamin. Sudah pasti, kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri menjadi keutamaan kita,” katanya. – UTUSAN









