PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Terengganu bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sekiranya UMNO tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu nanti.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun tetap menghormati UMNO sebagai pilihan pertama untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, ini kerana parti di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) yang bertungkus lumus mengambil inisiatif memfailkan petisyen ke Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.
“Kita tunggu daripada BN dahulu. Setahu kita UMNO masih berminat untuk bertanding di situ, jadi kita patut hormati keputusan mereka sehingga mereka buat pengumuman…sebab penamaan calon pun ada masa lagi.
“Kita ambil sikap begitu…kena hormati rakan kita sebagai pilihan pertama. Kalau UMNO buat keputusan tidak ambil bahagian, maka kita akan bermesyuarat dan PH akan masuk calon sama ada dari Parti Amanah, PKR atau sesiapa sahaja. “Jadi sehingga itu kita tidak mahu melangkah UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas PH Terengganu yang dilihat lebih mengambil pendekatan ‘diam’ menjelang PRK Kemaman sekali gus menimbulkan persoalan apakah PH Terengganu tidak mengintai peluang meletakkan calon di situ.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberitahu, pihaknya menerusi UMNO akan meletakkan anak kelahiran Kemaman, Terengganu sebagai calon dengan beberapa nama sudah diperoleh dan ia akan disenarai pendek dalam masa terdekat. Selain itu, sebuah portal melaporkan, Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku memberi bayangan calon BN Kemaman pada PRU15,
Datuk Seri Ahmad Said berkemungkinan tidak bertanding semula selepas Pengerusi BN Terengganu itu sendiri dalam mesyuarat memaklumkan parti akan meletakkan calon baharu.
Oleh itu, Ahmad akan menumpukan tugasnya sebagai Pengarah Jentera BN PRK Parlimen Kemaman nanti. Dalam pada itu, PH Terengganu mengingatkan UMNO untuk meletakkan calon muka baharu boleh menang pada pilihan raya kecil berkenaan.-UTUSAN










