Pesawah menderita, pengilang tersepit

FOKUS: Pesawah menderita, pengilang tersepit

PESAWAH terus terhimpit apabila harga belian padi diturunkan daripada RM1,700 kepada RM1,250 sekali gus membebankan golongan berkenaan. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA sekitar dua bulan pesawah menikmati harga belian padi RM1,700 bagi satu tan metrik sekali gus memberi sedikit ruang mereka ‘bernafas, kini golongan itu kembali menderita apabila harga belian tersebut turun semula kepada RM1,250 sejak 3 Oktober lepas.

Malah, difahamkan keputusan pengilang menurunkan harga belian padi menyebabkan lebih 50 peratus petani yang belum menuai hasil padi masing-masing tidak sempat menikmati harga RM1,700 itu yang jika termasuk subsidi RM500, mereka mampu menjana pendapatan RM2,200 bagi hasil jualan satu tan metrik.

Penurunan itu terus menghimpit pesawah di sebalik kos mengerjakan bendang termasuk menuai kini semuanya sudah naik. Malah, harga input pertanian seperti benih juga meningkat mendadak sehingga satu kali ganda. Itu tidak lagi termasuk masalah-masalah berulang seperti kelewatan benih padi, baja, pengairan dan penyakit dan yang menjejaskan pengeluaran hasil padi pada setiap musim.

Kehidupan pesawah ketika ini cukup ‘keras’ bukan sahaja sukar memberi keselesaan hidup, malah, mampu menjerumuskan para petani ini kepada kancah kemiskinan yang berterusan. Sedangkan 248,000 petani di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mengusahakan sawah adalah nadi bagi membantu pengeluaran beras di negara ini.

Di sebalik isu kekurangan bekalan beras, golongan tersebutlah yang menjadi pengharapan untuk membantu negara meningkat hasil makanan ruji tersebut.

Bayangkan kalau para pesawah ini mula mengalah dan beralih bidang, bagaimana nasib masa depan keterjaminan makanan negara?

Mahu tidak mahu, kerajaan perlu campur tangan bagi mencari solusi terbaik menyelesaikan isu tersebut sekali gus meringankan beban petani.

Ada juga cadangan meskipun nampak kurang popular iaitu sudah tiba masanya harga siling beras tempatan ini ditingkatkan daripada RM2.60 kepada RM3.50 atau RM4 sekilogram. Melalui peningkatan tersebut juga, harga belian padi berkemungkinan boleh naik sekurang-kurangnya RM2,000 tan metrik tanpa subsidi.

Selain itu juga, sudah tiba masa beras tempatan ini dimartabatkan dengan meletakkannya lebih tinggi daripada beras import.

Sekarang ini, orang lihat beras import mahal dan nampak hebat manakala beras tempatan murah dan ‘lekeh’ yang bukanlah menjadi pilihan sebelum-sebelum ini.

Kini, apabila harga beras import naik mendadak, baru orang berebut-rebut mencari beras tempatan. Dahulu, beras tempatan ini bersepah-sepah di rak, tiada siapa berminat membelinya berbanding beras import kononnya nampak lebih berkualiti.

Jika harga siling beras tempatan dinaikkan, kerajaan juga boleh mengubah pula polisi agar beras import hanya terdiri dari gred rendah berbanding beras tempatan sekali gus mengurangkan harga beras import berkenaan.

Di peringkat pengilang, mereka juga sebenarnya tersepit sekiranya membeli padi dengan harga RM1,700 satu tan metrik yang boleh menyebabkan kerugian berterusan.

Didakwa, kos memproses padi bagi beras kampit 10 kilogram sudah mencecah RM35 tetapi kerajaan meletakkan harga kawalan RM22.50.

Malah, dakwa pengilang, bagi penghasilan 10,000 tan metrik beras, mereka terpaksa menanggung kerugian sehingga RM7.5 juta jika membeli padi dengan harga RM1,700 per tan metrik.

Sama ada pesawah atau pengilang, masing-masing berdepan cabaran ketika ini. Penurunan harga belian padi akan menyebabkan pesawah kembali terhimpit manakala jika harga belian naik, pengilang pula menanggung kerugian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×