TELUK INTAN: Pesawah di Labu Kubong di sini mengakui sudah hilang semangat untuk menanam padi berikutan penurunan harga belian padi daripada RM1,700 satu tan kepada RM1,250 sejak 3 Oktober lepas.
Pesawah di sini, Wahid Mat Nor, 76, yang mengusahakan lima ekar sawah berkata, penurunan harga padi menyebabkan tiada keuntungan yang diperoleh daripada sawah yang mereka usahakan.
Menurutnya, apatah lagi kos untuk menanam padi begitu tinggi berikutan kenaikan harga benih anak padi, racun, kos buruh, upah menggunakan jentera tuai padi dan lain-lainnya.
“Sekarang, semuanya naik, terbaru benih padi naik, kalau dulu, RM35, tapi, sekarang naik sehingga RM49. Itu belum dikira kos lain seperti racun, selepas ditolak kos dan padi yang dijual, kami dapat ‘miang padi’ sahaja.
“Saya masih ingat, selepas ditolak semua kos, hasil jualan padi musim lalu hanya dapat RM1,000 sahaja, itu pun nasib baik ada sedikit untungnya. Kadang kala, saya rasa hilang semangat nak bersawah disebabkan penurunan harga padi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kalau dikira secara terperinci, bersawah sudah tidak berbaloi disebabkan penurunan harga padi.
Katanya, namun, dia tetap menanam padi daripada tanah yang dimilikinya terbiar atau pun disewakan kepada pengusaha lain.
“Memang tak banyak hasil padi jika harganya turun, tapi saya tidak berhasrat untuk menukar tanah kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit atau tanaman kontan.
“Pertamanya, ini adalah tanah sawah, lot sawah tidak boleh ditukar kepada tanaman lain, keduanya jika ditukar kepada sawit, ini akan mendatangkan masalah kepada pesawah lain kerana biasanya kebun sawit menjadi sarang haiwan liar.
“Saya akan terus menanam padi, namun, tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada hasil bendang berikutan harga padi yang menurun,” katanya.
Wahid berharap harga padi akan kembali ke paras sebelum ini iaitu RM1,700 satu tan dicampur subsidi.
Katanya, harga RM1,250 per tan padi sekarang tidak berbaloi dengan kos dan tenaga untuk membuat sawah.
“Saya percaya kerajaan ada cara untuk memulihkan harga padi, sekali gus menjadikan harganya kembali seperti asal,” katanya. – UTUSAN










