PETALING JAYA: Memerlukan perhatian dan sokongan lelaki menjadi punca utama wanita tempatan khususnya dalam kalangan warga emas dan ibu tunggal berkahwin dengan warga asing.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil berkata, kebanyakan wanita dalam kalangan ibu tunggal dan warga emas yang tidak mempunyai suami sama ada berpisah kerana bercerai atau pasangan meninggal dunia memikul tanggungjawab besar menjaga keluarga.
Katanya, golongan wanita yang telah lama tidak memperoleh sokongan, lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah memerlukan lelaki sebagai tunjang untuk menghadapi rintangan kehidupan.
“Justeru, kita boleh melihat dalam kalangan masyarakat kita ibu tunggal terutama yang berpendapatan rendah mudah terpedaya kemudian terpikat dengan kata-kata manis daripada warga asing.
“Mereka memerlukan kasih sayang daripada insan yang boleh memberi sokongan mendepani kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, warga Bangladesh dan Pakistan dikesan menggunakan taktik memikat warga tempatan bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan sendiri di negara ini.
Menurut laporan tersebut, kumpulan warga asing menyasarkan warga emas dan ibu tunggal untuk dikahwini agar mereka boleh menetap dengan lebih lama dalam negara ini.
Dalam pada itu, Nur Hafeeza berkata, dalam sesetengah kes jalinan perkahwinan dengan warga asing yang tidak dapat kekal lama menyebabkan keluarga berpecah-belah sehingga anak-anak menjadi mangsa.
Katanya, permasalahan turut timbul kepada anak hasil perkahwinan dengan warga asing yang berisiko tidak mendapat akses dan manfaat yang selayaknya seperti warganegara ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Antropologi dan Sosiologi Universiti Sains Malaysia, Dr. Mohd Khairuddin Mohd Sallehuddin berkata, antara masalah lan perkahwinan orang tempatan dengan warga asing ialah kebajikan isteri dan anak-anak tidak dijaga jika berlaku perceraian.
“Apabila berlakunya perceraian, isteri sebenarnya berhak menuntut harta sepencarian, nafkah edah, nafkah anak-anak dan hadanah” katanya
“Apabila berlakunya perceraian, isteri sebenarnya berhak menuntut harta sepencarian, nafkah edah, nafkah anak-anak dan hadanah.
“Namun keadaan ini kebanyakan tidak terjadi apabila suami warga asing ini menceraikan wanita tempatan. Bahkan keadaan yang lebih parah, isteri yang terpaksa menggalas semua tanggungjawab selepas ditinggalkan,” katanya.-UTUSAN










