Insiden konsert terdahulu bawa hikmah besar buat kami - Wali Band - Utusan Malaysia

Insiden konsert terdahulu bawa hikmah besar buat kami – Wali Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Indonesia, Wali Band, mengakui insiden yang berlaku pada konsert terdahulu di Idea Live bukan sekadar ujian, sebaliknya membawa hikmah besar dalam perjalanan seni mereka.

Gitarisnya, Apoy berkata, pengalaman tersebut membuka ruang untuk mereka kembali ke Malaysia dengan semangat baharu menerusi konsep konsert Wali Kembali yang akan diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam ini.

“Alhamdulillah, peminat di Malaysia memahami bahawa perkara itu bukan kesalahan kami. Mereka tetap menyokong dan berharap kami kembali. Sebab itu kami datang semula dengan konsep ‘Kembali’.

“Walaupun ada sedikit rasa marah ketika itu, akhirnya kami nampak hikmah besar di mana kami dapat kembali ke Malaysia dan bertemu lebih ramai peminat di tempat lain, malah berpeluang untuk ke Sabah juga,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media, semalam.

Menurutnya lagi, insiden tersebut tidak mematahkan semangat mereka, malah menjadi pemangkin untuk memberikan persembahan lebih baik kali ini.

“Keraguan itu tetap ada, kami risau jika tidak dapat memberikan yang terbaik kepada peminat di Malaysia. Namun sokongan peminat menjadi ‘booster’ untuk kami tampil lebih baik dan lebih bersedia berbanding sebelumnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, vokalisnya, Faank memaklumkan persiapan untuk konsert kali ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

“Alhamdulillah, Insya-Allah semua persiapan telah dilakukan dengan sebaik mungkin. Bermula daripada pemilihan lagu, penyusunan senara lagu, hingga ke sesi  latihan di lokasi termasuk pemeriksaan sistem bunyi. Syukur semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kendala.

“Kami berharap dapat memberikan persembahan terbaik walaupun dengan segala kekurangan, dan Insya-Allah dapat menghiburkan para peminat Wali di Malaysia,” katanya.

Konsert yang dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam itu bakal menyaksikan mereka menyampaikan sekitar 15 buah lagu pilihan.

Mengulas mengenai kemungkinan ada kejutan, Faank tidak menolak peluang tersebut.

“Belum terfikir ke arah itu, tapi kita lihat bagaimana nanti. Mungkin akan ada kejutan-kejutan, Insya-Allah,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan sama, Wali Band turut meluahkan rasa syukur terhadap sambutan peminat apabila jualan tiket mencecah 90 peratus.

Apoy berkata, mereka teruja untuk kembali beraksi di pentas lebih besar selain berpeluang berinteraksi dengan peminat generasi muda.

“Kami ingin bertukar tenaga dengan Gen Z. Walaupun kami bukan Gen Z, tenaga mereka memberi semangat kepada kami, dan mesej lagu kami juga sampai kepada mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas rahsia kekal utuh lebih dua dekad, Apoy menegaskan hubungan kekeluargaan menjadi kunci utama.

“Kami bukan sekadar band, kami seperti keluarga. Dengan segala kekurangan, kami ingin bersama hingga ke syurga.

“Masalah besar kami anggap kecil, masalah kecil kami anggap tiada. Kami bersaudara, bukan sekadar rakan sekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN