KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau tidak boleh menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Gaza begitu sahaja tanpa persetujuan mana-mana pihak.
Perdana Menteri menjelaskan, persetujuan atau kebenaran untuk mendarat diperlukan oleh tentera terutama di negara asing.
“Ada di Malaysia menyatakan dan bersuara kita enggan menghantar pasukan tentera. Pimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana pihak untuk menyinggung hal ini.
“Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah, mahu hantar tentera termasuk pendamai atau keamanan atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati negara jiran, kalau tidak kita tidak boleh mendarat. Saya minta supaya kefahaman, jangan dikelirukan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau bagaimanapun bersepakat sebagai satu komuniti dengan rakan-rakan dan negara jiran untuk memutuskan apa sahaja diperlukan menyelamatkan rakyat terus dizalimi dan mangsa kekejaman rejim Israel.
“Di peringkat awal ini, menteri luar mewakili kita menyampaikan pandangan kita dengan satu matlamat iaitu menyelamatkan keadaan sekarang dan mengambil langkah apa sahaja perlu dan saya akan susuli di Riyadh, Arab Saudi.
“Sekiranya perlu, saya akan bantu rakan di sana membantu mereka mencari penyelesaian yang baik,” katanya. – UTUSAN










