Perlu 2/3 untuk lulus RUU anti lompat parti Pahang - Utusan Malaysia

Perlu 2/3 untuk lulus RUU anti lompat parti Pahang

AMIZAR Abu Adam (kiri) ketika diumumkan sebagai calon BN PRK DUN Pelangai oleh Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti di Pahang hanya dapat direalisasikan jika memperoleh sokongan dua per tiga atau 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya pembangkang sebelum ini pernah menyatakan tidak menyokong RUU tersebut sekali gus menyebabkan usaha undang-undang itu berdepan laluan sukar.

Katanya, malah blok kerajaan hanya mempunyai 22 ADUN iaitu kurang enam kerusi untuk mencapai dua per tiga bagi meluluskan undang-undang lompat parti.

“Sebab mereka (pembangkang) menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekalipun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga.

“Sebab kita (kerajaan) tiada dua per tiga, kita ada 25 sahaja. Untuk dua per tiga kita perlukan 28 ADUN,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Sembang Santai Veteran di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai di sini hari ini.

RUU anti lompat parti sepatutnya dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 8 Mei lalu namun ditangguhkan kerana pembangkang meminta lebih masa untuk mengkaji rang undang-undang itu.

Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022.

Isu lompat parti timbul ekoran desas desus kononnya empat ADUN kerajaan akan menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada Sabtu ini.

Wan Rosdy berkata, khabar angin bahawa kononnya empat ADUN kerajaan melompat parti merupakan satu taktik pihak lawan untuk menghakis keyakinan pengundi menjelang PRK DUN Pelangai.

Katanya, dakwaan kerajaan bertukar sering kali menjadi isu yang sengaja dibangkitkan pembangkang pada setiap pilihan raya termasuk dua PRK baru-baru ini, Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata, semua ADUN kerajaan telah menafikan bahawa akan wujud dalam kalangan mereka untuk menyertai PN.

“Ia satu bukti jelas mereka mahu buat sentimen dan sensasi untuk membimbangkan rakyat berbanding cara kita buat tawaran kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kehadiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob untuk membantu kempen calon BN boleh memberi nilai tambah kepada kemenangan parti dalam PRK Pelangai.

“Selaku bekas Menteri Besar dan ADUN Pelangai, banyak jasa beliau di Pelangai. Kehadiran beliau boleh bantu calon untuk menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN