Perkeso Melaka bayar faedah RM19.7 juta kepada pencarum

Perkeso Melaka bayar faedah RM19.7 juta kepada pencarum, waris

PENGARAH Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar (tiga kanan) bersama Ngwe Hee Sem (tengah) bersama wakil pengamal media pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Caruman di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka telah melunaskan bayaran berjumlah lebih RM19.7 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini membabitkan 6,088 kes pelbagai kategori faedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, bayaran tertinggi melibatkan pencarum bagi faedah hilang upaya kekal iaitu sebanyak RM8.71 juta membabitkan 473 kes diikuti faedah hilang upaya sementara sebanyak RM8.66 juta melibatkan 4,425 kes.

Kata beliau, sebanyak RM94,641 telah dibayar untuk faedah orang tanggungan, pencen ilat (RM269,643), pencen penakat (RM646,693) dan faedah pengurusan jenazah (RM1.33 juta).

“Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kemalangan sama ada dalam perjalanan atau pulang dari tempat kerja. Jadi kita sangat menggalakkan kepada semua terutama yang bekerja sendiri untuk segera mendaftar dan membuat caruman.

“Ini penting supaya pencarum dan waris mendapat perlindungan faedah daripada Perkeso sekali gus menjamin kebajikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Caruman di sini, semalam.

Hee Sem menyampaikan tajaan caruman berjumlah RM9,312 di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 40 pengamal media sambilan di Melaka.

Dalam pada itu, mengenai caruman kepada masyarakat orang asli, Hee Sem berkata, setakat ini terdapat 136 pencarum daripada tujuh perkampungan orang asli dalam kawasan Machap Jaya berjaya didaftarkan menerusi skim tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, usaha berkenaan akan diperluaskan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain yang mempunyai penempatan masyarakat pribumi itu.

“Setakat ini terdapat 14 perkampungan orang asli di Melaka yang mana 70 peratus terletak di Machap Jaya. Jadi saya akan berbincang dengan wakil rakyat di kawasan yang terlibat untuk membantu menggalakkan orang asli mencarum dengan Perkeso.

“Kita anggarkan kira-kira 90 peratus orang asli masih belum mencarum kerana kebanyakan mereka ini melakukan pelbagai pekerjaan dan bekerja sendiri. Walaupun belum sepenuhnya (mencarum) tetapi kita akan sentiasa mengadakan program kesedaran mengenai caruman ini dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya