Perdana Menteri tiba di Istanbul, bincang isu Palestin - Utusan Malaysia

Perdana Menteri tiba di Istanbul, bincang isu Palestin

ANWAR Ibrahim tiba di Istanbul dan bakal mengadakan pertemuan bersama Recep Tayyip Erdogan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri tiba di Istanbul untuk lawatan kerja dua hari ke Turkiye dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, petang ini.

Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 10.45 malam waktu tempatan (pukul 3.45 pagi, Ahad, waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal; Menteri Penasihat dari Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Clara Soon May Lynn dan Ahmad Hashim Mahmood, serta Atase Pertahanan Malaysia, Kolonel Mohd. Edafi Daud.

Menyambut ketibaan bagi pihak Turkiye ialah Timbalan Gabenor Istanbul, Sevket Atlı; Komander Gendermarie, Kolonel Mesut Maden dan Ketua Jabatan Pejabat Kementerian Luar Istanbul, Mehmet Zait Uzun.

Lapor Bernama, antara topik yang dijadual dibincang dengan Erdogan ialah mengenai kebimbangan isu Israel-Palestin yang semakin meningkat.

Selepas pertemuannya dengan Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin.

Pertempuran di Palestin baru-baru ini yang melibatkan pejuang Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban sejak 7 Oktober lalu.

Anwar baru sahaja menamatkan lawatan kerja dua hari ke Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan buat pertama kali sejak kedua-dua blok serantau itu menjalin hubungan pada 1990. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN