Peratusan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar menurun - Utusan Malaysia

Peratusan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar menurun

RUBIAH WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.4 peratus penduduk berhijrah dari luar bandar ke bandar dicatatkan pada tahun lalu, menurun daripada 3.8 peratus yang dicatatkan pada 2020.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia berdasarkan dapatan daripada Survei Migrasi 2022 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan.

“Pelaksanaan program-program kementerian dilihat memberi impak positif berdasarkan dapatan daripada Survei Migrasi tahun 2022.

“Ia menunjukkan bahawa trend aliran migrasi dalam negeri melibatkan luar bandar ke bandar semakin berkurang iaitu 3.8 peratus pada tahun 2020 ke 2.4 peratus pada tahun 2022,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, salah satu faktornya adalah Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang memberi penekanan ke atas usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar dalam pelbagai aspek meliputi prasarana, ekonomi, sosial dan persekitaran supaya kehidupan di luar bandar menjadi lebih baik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan golongan belia.

Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah Program Peningkatan Pendapatan, Program Desa Lestari, Program Desamall, serta program-program bantuan keusahawanan di bawah Mara seperti Program Pecutan Usahawan Baharu dan Program Usahawan Muda.

Beliau juga memaklumkan, Risda, Felcra dan Lembaga Kemajuan Wilayah turut melibatkan belia luar bandar dalam sektor pertanian dan penternakan supaya peluang pekerjaan dapat diberikan seperti pelaksanaan Program Tenaga Kerja Pekebun Kecil, Projek Pertanian Petani Luar Bandar dan Projek Agrotek Desa.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menawarkan peluang kepada peningkatan kemahiran yang memenuhi keperluan semasa bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar khususnya melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, terdapat sebanyak 280 institusi Pendidikan TVET@KKDW di seluruh negara yang menawarkan sebanyak 529 program pendidikan TVET meliputi 15 kluster bidang kemahiran yang diberikan fokus oleh kementerian antaranya Keusahawanan dan Teknousahawan, Pertanian dan Agrikultur, Elektrik dan Elektronik serta Minyak dan Gas,” katanya.

“Kementerian akan terus menyediakan infrastruktur dan prasarana yang lengkap dan mencukupi di luar bandar dalam menyokong pembangunan ekonomi dan mewujudkan persekitaran luar bandar yang kondusif,” katanya.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai usaha serta langkah-langkah yang diambil oleh pihak kementerian bagi mengatasi peningkatan kadar migrasi belia luar bandar ke kawasan bandar yang mampu mengakibatkan peningkatan jurang ekonomi di kawasan luar bandar serta peningkatan kadar miskin bandar. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN