Sindrom Tourette tidak padam cita-cita besar Marcus

Sindrom Tourette tidak padam cita-cita besar Marcus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN berdepan pelbagai cabaran hidup akibat Sindrom Tourette, Marcus Chua Han Son tidak pernah menjadikan penyakit itu sebagai penghalang untuk terus bangkit dan meneruskan kehidupan.

Menurut jejaka berusia 24 tahun itu, dia juga tidak pernah melihat penyakitnya itu sebagai halangan untuk terus memberi inspirasi kepada orang lain.

Bercita-cita untuk menjadi seperti pakar motivasi kelahiran Australia, Nick Vujicic, Marcus berazam untuk berkongsi kisah hidupnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang cabaran sebenar yang dihadapi penghidap Tourette.

Menurut Marcus, Sindrom Tourette merupakan gangguan neurologi yang menyebabkan penghidapnya melakukan pergerakan berulang atau mengeluarkan bunyi secara tidak terkawal yang dikenali sebagai ‘tik’.

Penghidap sindrom ini tidak dapat mengawal tik yang dialami kerana ia berlaku secara spontan.

Sehingga kini, tiada ubat yang dapat menyembuhkan Sindrom Tourette.

Menurut statistik dari Mayo Clinic, Dianggarkan antara 0.5 hingga satu peratus populasi dunia menghidap sindrom tersebut.

Bermula dengan tik ringan

Menurut Marcus, dia mula mengalami simptom Tourette ketika berusia 11 tahun. Pada peringkat awal, tik yang dialaminya tidak begitu serius.

“Pada waktu itu, saya kerap berdehem atau mengeluarkan bunyi seakan-akan berdehem. Tekak saya tidak gatal, tetapi saya rasa seperti ada satu ‘dorongan’ untuk melakukannya.

“Mak saya ingat saya hanya batuk biasa. Namun, apabila keadaan itu berlarutan, saya sering dimarahi kerana keluarga menyangka ia sekadar satu ‘tabiat’, sedangkan saya tidak mampu mengawalnya.

“Keluarga saya berhabis wang untuk mendapatkan pelbagai jenis rawatan. Mak saya juga pernah membelikan ubat-ubatan tradisional Cina, namun saya tetap tidak sembuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhirnya, ketika Marcus berusia sekitar 12 hingga 13 tahun, keluarganya membawanya ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Ketika itulah dia disahkan menghidap Sindrom Tourette.

Malu berhadapan dengan orang

Marcus berkata, salah satu cabaran terbesar bagi penghidap Tourette ialah reaksi masyarakat terhadap tik yang dialami terutamanya ketika dia berada di tempat awam.

Ketika baru didiagnosis dengan Tourette, Marcus berkata, dia berasa sangat malu dengan keadaan dirinya.

“Tipulah jika saya tidak rasa malu. Disebabkan tik yang saya alami, saya sering menjadi perhatian dan semua orang akan memandang saya.

“Pada awalnya, saya cuba untuk menahan tik tersebut. Tetapi apa yang orang tidak tahu, saya akan berasa sangat penat, baik dari segi mental mahupun fizikal apabila cuba menahannya.

“Jadi, apabila sampai di rumah, saya akan ‘meletup’,” katanya.

Marcus berkata, rasa malu yang dialaminya sebelum ini semakin berkurang apabila dia menginjak dewasa.

Bagaimanapun, katanya, cabaran utama yang dihadapi kini lebih kepada kesakitan fizikal dan rasa lebih yang melampau akibat tik yang dialami.

“Kadang-kadang saya gigit atau pukul diri sendiri hingga tercedera. Semua pergerakan ini berlaku tanpa kawalan.

“Jika sebelum ini saya rasa malu, sekarang saya lebih banyak berasa penat dan sakit,” katanya.

Aktif bersukan

Walaupun menghidap Sindrom Tourette, ia tidak menjadi penghalang untuk Marcus kekal aktif dalam bidang sukan.

Menurut Marcus, dia kini memberi tumpuan kepada pembangunan diri dan sedang mendalami senaman kalistenik, satu bentuk senaman mengguna­kan berat badan sendiri.

“Saya sebenarnya seorang yang sangat aktif, jadi sukar untuk saya duduk diam.

“Kadangkala, saya bermeditasi untuk mengurangkan tik, tetapi saya lebih gemar keluar dan bersenam,” katanya.

Marcus berkata, dia pernah mencuba pelbagai jenis sukan sebelum akhirnya berminat untuk menceburi senaman kalistenik.

“Semua ini saya belajar sendiri secara dalam talian. Saya belajar bagaimana hendak melakukan handstand dan pelbagai teknik lain.

“Apabila saya melakukan handstand, tik saya berkurangan kerana saya lebih fokus,” katanya.

Minta masyarakat empati

Menurut Marcus, tahap kesedaran terhadap Sindrom Tourette dalam kalangan masyarakat ketika ini masih rendah.

Katanya, ada kalanya orang ramai akan memerhati atau menunjukkan rasa simpati terhadapnya apabila berada di tempat awam.

Bagaimanapun, Marcus berkata, penghidap Tourette sepertinya tidak memerlukan simpati, sebaliknya lebih mengharapkan empati daripada masyarakat.

“Saya berharap masyarakat lebih memahami penghidap Tourette seperti saya. Ia bukan sesuatu yang mudah.

“Saya tidak kisah jika orang datang bertanya sama ada saya okay atau tidak, tetapi saya tidak selesa apabila orang memandang saya terlalu lama,” jelasnya.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, dia tetap optimis kerana mempunyai impian dan visi yang jelas dalam hidup.

“Saya mahu memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN