IPOH: Kerajaan negeri melalui inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhasrat mengguna pakai sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu melalui kaedah thermowaste.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, teknologi itu menggunakan kaedah pengasingan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah.
Katanya, teknologi thermowaste yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah termasuk Poland dan Sepanyol berupaya menangani isu alam seperti pencemaran bau sekali gus meningkatkan kualiti kesihatan awam.
Menurutnya, sisa pepejal yang diasingkan boleh memberi pulangan pendapatan melalui penghasilan komoditi seperti biojisim, plastik dan logam untuk dijual kepada pihak industri.
“Asas cara teknologi ini berfungsi ialah melalui proses pensterilan dan pembersihan menggunakan haba, wap dan tekanan ke atas sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan di peringkat awal.
“Selepas 30 minit, penguraian sisa pepejal boleh diasingkan kepada bentuk biojisim, plastik, logam dan inert.
“Semua komoditi asas ini kemudiannya boleh dijual di pasaran. Contohnya, sisa pepejal yang ditukar kepada bentuk biojisim akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta di sini semalam. Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Afifullah Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut.-UTUSAN










