Penubuhan KRT boleh dibatalkan jika tidak aktif - Utusan Malaysia

Penubuhan KRT boleh dibatalkan jika tidak aktif

CHE Roslan Che Daud (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi KRT Ketereh, Wan Ahmad Hasbullah pada Majlis Malam Seni Budaya Warisan Kelantan Peringkat Daerah Kota Bharu di KRT Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) boleh membatalkan penubuhan Kawasan Rukun Negara (KRT) yang didapati tidak aktif menjalankan program di dalam komuniti masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, setakat hari ini, sebanyak 8,348 KRT di seluruh negara masih aktif kecuali di Sabah berikutan masalah pengangkutan untuk pengurusan.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan membantu dan melihat KRT yang dikenal pasti tidak aktif agar boleh dikekalkan.

“Setakat ini, semua KRT di seluruh negara masih aktif mengadakan program di dalam komuniti bagi membolehkan mereka memperoleh geran sebanyak RM6,000 setahun.

“Bagi membolehkan setiap KRT mendapat dana tersebut, mereka perlu mengadakan 12 program dalam tempoh setahun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Malam Seni Budaya Warisan Kelantan Peringkat Daerah Kota Bharu di KRT Ketereh di sini semalam.

Che Roslan memberitahu, hubungan KRT dengan JPNIN amat baik dan mereka akan dipantau oleh pegawai perpaduan melalui sistem di ibu pejabat.

Katanya, JPNIN akan mengiktiraf sesebuah KRT apabila mereka mengadakan 12 program setiap tahun selain mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak swasta.

“Ada penambahan permohonan penubuhan KRT baharu pada tahun ini terutamanya di kawasan luas seperti di taman perumahan.

“KRT di seluruh negara aktif mengadakan program secara kecil-kecilan di bawah projek ekonomi, buat produk dan gotong-royong. Di Kelantan, KRT Ketereh dan Pasir Mas antara yang mendapat tempat paling tinggi kerana menyertai banyak pertandingan yang diadakan oleh JPNIN,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN