Bila saya buat hantaran macam itu, saya terfikir juga takut orang rasa rimas - Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Bila saya buat hantaran macam itu, saya terfikir juga takut orang rasa rimas – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, mengakui pernah berasa bimbang sekiranya perkongsian mengenai hubungan jarak jauh bersama suaminya, Fathuddin Mazlan, di platform Threads mengundang rasa rimas pengikutnya.

Liyana Jasmay, 38, berkata, dia tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat komen yang ramai yang turut mengalami situasi sama, sekali gus membuatkan dia sedar dirinya tidak keseorangan.

“Bila saya tulis pasal perjalanan percintaan jarak jauh, ramai orang bagi komen yang sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang menghadapi situasi ini. Sebenarnya ramai juga orang lain yang melalui perkara yang sama.

“Mereka pun menjalani hubungan jarak jauh dan berkongsi macam mana mereka menguruskan kehidupan bersama anak-anak. Saya suka baca komen-komen macam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dia sebelum ini ada memuat naik beberapa perkongsian mengenai perjalanan hubungannya bersama suami tetapi bimbang orang ramai menganggap tindakannya sekadar ingin menunjuk-nunjuk.

“Kadang-kadang bila saya buat hantaran macam itu, saya terfikir juga takut orang rasa kurang senang. Sebenarnya saya bukan nak menunjuk, saya cuma nak berkongsi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai peribadi suaminya, Liyana menyifatkan suaminya itu seorang yang agak pemalu di hadapan orang ramai.

“Suami saya memang seorang yang pemalu sikit depan orang, tapi sekarang dia dah lebih berani sebab dah lama kahwin dengan saya. Cuma bila depan orang, dia tetap bukan jenis yang suka bercakap.

“Dia bukan orang yang cakap banyak sangat, tapi dia memang suka senyum. Kalau orang ajak dia berbual, dia akan berbual, tapi kalau orang tak tegur, dia pun tak bercakap.

“Dia sekarang bekerja di Sabah, jadi dia balik Kuala Lumpur ini lebih kurang dua bulan sekali atau sebulan sekali. Memang sekarang kami menjalani hubungan jarak jauh,” katanya.

Untuk rekod, Liyana Jasmay berkahwin dengan Fathuddin Mazlan pada 2 Februari 2013 dan kini dikurniakan dua orang anak perempuan bernama Sofia Arissa dan Selena.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×