Pensyarah politeknik wajib tiga bulan dalam industri

Pensyarah politeknik wajib tiga bulan dalam industri

MOHD. ZAHARI Ismail (enam dari kiri) bersama penerima Anugerah Akademia POLYCC di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pensyarah politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) akan diwajibkan berada dalam industri selama tiga bulan bagi memastikan pengalaman diperolehi dapat dikongsi dengan pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd. Zahari Ismail berkata, seramai 10,000 pensyarah yang berkhidmat di 36 politeknik dan 105 kolej komuniti juga bakal diberikan latihan bagi memantapkan kemahiran serta kepakaran dalam pelbagai bidang terutama pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Ujarnya, mereka juga digalakkan melanjutkan pengajian, mengikuti latihan serta kursus kemahiran dan latihan semula bagi memastikan pensyarah terlibat mampu mengajar mengikut kemampuan dan kehendak industri.

Katanya, peruntukan sebanyak RM2 bilion menerusi Belanjawan 2024 akan digunakan untuk memperkasakan TVET di POLYCC seluruh negara.

“Setakat ini tenaga pengajar seramai 10,000 orang adalah mencukupi mengikut keperluan dan standard ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memacu POLYCC ke arah memperkasakan TVET.

“Kita sentiasa meningkatkan kemahiran dan kepakaran pensyarah bagi memastikan mereka mengajar mengikut keperluan mengikut kehendak industri semasa.

“Sebagai contoh dalam bidang pendigitilan, pensyarah yang sudah lama akan dihantar menjalani latihan semula manakala yang baharu pula kita tidak ada masalah dengan kemahiran dan kepakaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademia POLYCC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Datuk Mohlis Jaafar diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademia TVET, di samping 10 penerima anugerah dalam pelbagai kategori antaranya Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Anugerah Penerbitan, Anugerah Pensyarah Harapan dan Anugerah Pensyarah Cemerlang.

Tambah Mohd. Zahari, peruntukan dalam Belanjawan 2024 adalah sangat baik untuk memperkasakan TVET dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran.

Katanya, ia dilihat sebagai satu keperluan selepas rekod TVET membuktikan bidang itu mampu melahirkan ramai pekerja mahir terlatih, berupaya mencipta pekerjaan sendiri serta menjadi rebutan majikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN