Kos meningkat. peniaga kecil tutup kedai, berniaga dalam talian

Kos meningkat. peniaga kecil tutup kedai, berniaga secara dalam talian

KINI ramai peniaga terutama anak-anak muda mula berniaga secara dalam talian kerana ia menjimatkan kos dan lebih mendapat keuntungan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran kos operasi dan tiada sambutan menyebabkan semakin ramai peniaga kecil menutup operasi di premis dan beralih berniaga secara dalam talian.

Perkara tersebut semakin menjadi trend di Lembah Klang dan bandar-bandar besar seperti Johor Bharu, George Town apabila kedai-kedai seperti menjual makanan, kosmetik dan pakaian tidak beroperasi.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim berkata, kenaikan pelbagai kos dan penurunan jumlah pelanggan menyebabkan peniaga-peniaga tersebut terpaksa menutup kedai fizikal mereka bagi mengelakkan diri daripada kerugian.

“Ini kerana kos sewaan premis terutama di bahagian bawah semakin meningkat iaitu sehingga RM3,000 ke RM4,000 disebabkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), di mana tuan empunya terpaksa menaikkan sewa.

“Peniaga juga berhadapan dengan kos kenaikan bahan mentah sehingga 20 peratus dan kita turut dapati orang ramai semakin kurang berbelanja kerana kos untuk mereka berbelanja juga meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, perkara tersebut mendorong peniaga-peniaga Melayu untuk beradaptasi dengan corak perniagaan baharu iaitu secara dalam talian seperti melalui platform e-dagang dan aplikasi mudah alih yang lain.

“Ramai berpindah dari kedai fizikal ke dalam talian terutama di dalam aplikasi TikTok yang dilihat mempunyai ‘penangan’ lebih hebat dan mempunyai kos lebih rendah berbanding kedai fizikal di mana mereka tidak perlu membayar sewa memandangkan beroperasi dari rumah.

“Malah, sekarang ni kita juga mempunyai banyak penyambung logistik jadi ini memudahkan peniaga-peniaga ini untuk melakukan operasi perniagaan mereka daripada kediaman masing-masing,” katanya.

Kata beliau, peralihan tersebut adalah petanda baik buat peniaga-peniaga kerana ia akan memberi tekanan kepada pemilik bangunan untuk menurunkan kadar sewaan premis mereka.

“Kebanyakan peniaga-peniaga Melayu tidak beli bangunan tetapi mereka menyewa ruangan dalam bangunan. Jadi jika kedai-kedai ini kosong disebabkan kadar sewa yang tinggi maka pemilik terpaksa menurunkan harga.

“Bagi saya juga, ini adalah proses pembaikan daripada era semasa Covid-19 iaitu pada ketika ini pernigaan secara dalam talian menjadi rancak tetapi apabila pembukaan dilakukan semula ia merundum.

“Tetapi atas faktor hari ini di mana pelbagai kos sudah naik, jadi orang kembali semula kepada perniagaan dalam talian,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, kebanyakan pusat beli belah dan pusat perniagaan menjadi semakin sepi dan sunyi ekoran trend peralihan perniagaan ke dalam talian.

Katanya, trend tersebut akan memberi kesan negatif kepada semua usahawan dan peniaga untuk jangka masa panjang ekoran ia memupuk pengguna untuk membeli menggunakan ‘hujung jari’ tanpa perlu keluar daripada rumah.

“Memang sekarang ramai peniaga sedang lihat atau belajar macam mana nak guna sistem perniagaan dalam talian ni, memang trend untuk beralih tu semakin tinggi. Namun, ia ada kebaikan dan keburukannya pada masyarakat peniaga serta pengguna.

“Dari segi pengguna, mereka akan dapat berjimat kerana hanya pilih barangan yang diperlukan sahaja tetapi peniaga rugi kerana jika pembeli membeli secara fizikal mereka akan membeli lebih sebab nampak pilihan tu di depan mata dan nampak barangan lain diperlukan.

“Jadi sebenarnya, konsep pembelian secara dalam talian ni tidak baik kepada peniaga terutama peniaga yang menjalankan aktiviti mereka secara fizikal. Bukan semua barangan boleh diniagakan di dalam talian,” katanya.

Tambahnya, Malaysia perlu mengikut tindakan yang sama seperti mana diambil oleh kerajaan Indonesia iaitu menutup TikTok Shop.

“Indonesia sudah buat, jadi perkara baik seperti tersebut kita perlu lihat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN