SEREMBAN: Klinik Kesihatan Rantau yang baharu akan dibina kelak diharapkan turut memiliki kemudahan tempat letak kereta yang lebih luas, bilik rawatan yang lebih banyak dan selesa selain kafeteria.
Bagi penduduk di kawasan tersebut, itu antara isu kemudahan yang dihadapi mereka di Klinik Kesihatan Rantau di sini yang sudah berusia lebih 50 tahun.
Seorang penduduk, M. Krishani Sami, 73, berkata, dia sering mendapatkan rawatan dan mengambil ubat bagi penyakit kencing manis yang dihadapinya di klinik itu sejak tahun 1995.
“Sejak tinggal di estet saya sudah datang ke sini. Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana mengusulkan pembinaan baharu klinik kesihatan ini.
“Diharap klinik kelak dilengkapi dengan kemudahan untuk pesakit seperti kerusi yang mencukupi, kafeteria dan tempat letak kereta yang selesa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima buah klinik kesihatan baharu akan dibina.
Ia antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos 150 juta ringgit.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Mariah Maarof, 49, berkata, dia dan keluarga yang tinggal di Kampung Nyatoh, Rantau memang menggunakan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Rantau untuk membuat pemeriksaan kesihatan
“Memang Klinik Kesihatan Rantau ini menjadi pilihan sekiranya kami tidak sihat atau mahu membuat apa-apa pemeriksaan kesihatan.
“Walaupun usang dan lama, klinik ini sangat cekap melayan pesakit. Kalau kami hendak pergi ke Klinik Kesihatan di Seremban 2 ia agak jauh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, Klinik Kesihatan Rantau sedia ada telah berusia lebih 50 tahun dan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
“Kalau dilihat struktur bangunan adalah uzur dan usang dan klinik ini kerap mengalami kerosakan dan pembaikan yang melibatkan struktur bangunan dan pendawaian elektrik.
“Klinik Kesihatan Rantau juga menerima purata kedatangan harian yang tinggi iaitu seramai 400 pesakit.
“Selepas ini, kawasan ini dijangka berlaku pertumbuhan penduduk yang pesat dengan penambahan kawasan perumahan baru,” katanya.
Jelasnya lagi, jarak klinik baharu yang baharu yang akan dibina adalah sejauh tiga ilometer dari klinik sedia ada.-UTUSAN










