KUANTAN : Kezaliman yang berterusan berlaku dan dilakukan oleh tentera zionis terhadap umat Islam di Palestin turut mendapat perhatian rakyat di negara ini.
Menzahirkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, pihaknya menyokong tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengecam tindakan rejim Israel dan menghentikan kezaliman.
”Kami rakyat Pahang akan terus bersama dengan saudara kami di Palestin untuk keamanan dan mengutuk sekerasnya kekejaman rejim Israel yang tidak berperikemanusiaan.
”Hak rakyat Palestin yang dicabuli sejak 75 tahun lalu juga harus dikembalikan dan kekejaman rejim Israel harus diambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Kamil lagi, Amerika Syarikat juga perlu jujur dan masuk campur dengan isu ini supaya tidak ada sikap pilih kasih untuk mengenakan sekatan terhadap Israel seperti mana yang berlaku terhadap Rusia dengan Ukraine.
”Kita ada hampir dua billion saudara Islam di seluruh dunia harus bersatu memberi harapan kepada rakyat Palestin. Kami cukup kecewa hak rakyat Palestin terus diabaikan oleh masyarakat antarabangsa dari dahulu hingga kini,” katanya.
Dalam pada itu Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dalam kenyataan hari ini turut menyifatkan tindakan tentera Israel menceroboh Palestin dan merampas hak penduduk Palestin sebelum ini satu pencabulan hak asasi manusia.
MBNP mengutuk sekeras-kerasnya keganasan rejim zionis Israel terhadap Palestin dan berdoa agar konflik berkenaan segera berakhir dan kembali aman seperti sediakala.










