KUALA LUMPUR: Pegawai polis yang menyiasat mengenai pengubahan wang haram berkait skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka memberi keterangan esok di Mahkamah Tinggi di sini.
Pegawai tersebut ialah Asisten Komisioner (ACP) Foo Wei Min yang merupakan ketua pasukan menyiasat berhubung pengubahan wang haram (ketika siasatan skandal 1MDB) turut terlibat dalam serbuan dan rampasan barangan daripada sebuah kediaman di Pavilion.
Dalam kes penyelewengan dana tersebut, terdapat dua pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan kes tersebut.
Seorang lagi pegawai penyiasat ialah Asisten Komisioner (ACP) R. Rajagopal yang menyiasat berhubung pertuduhan pecah amanah.
Sebelum prosiding berakhir, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau terpaksa menghadiri satu kes di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada pagi esok dan hanya boleh meneruskan soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan pada sebelah petang.
Enggan membiarkan masa terbuang, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan agar pihak pendakwaan memanggil saksi baharu pada sebelah pagi.
Terdahulu, Muhammad Shafee ketika menyoal balas Adam Ariff mencadangkan adalah munasabah untuk Najib tidak mengetahui sumber wang yang memasuki akaun-akaun peribadinya kerana BNM sendiri mengambil masa empat tahun untuk mengenal pasti jejak aliran wang yang keluar dari 1MDB.
Adam Ariff bagaimanapun memaklumkan beliau tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap cadangan tersebut.
Selain itu, Adam Ariff menafikan bahawa beliau `memilih’ dokumen untuk dianalisa dalam menyediakan laporan jejak aliran wang dana 1MDB yang memasuki dua akaun peribadi Najib.
Ujarnya, terdapat dokumen yang tidak dinyatakan dalam fasa tertentu kerana ia tidak berkaitan dengan transaksi yang berlaku pada fasa berkenaan.
Ketika kali pertama memberi keterangan, saksi itu menyatakan jejak aliran wang sebanyak RM2.28 bilion daripada 1MDB dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi Najib melalui empat fasa.
Perbicaraan bersambung esok. -UTUSAN










