PBB perlu campur tangan desak gencatan senjata di Semenanjung Gaza - Utusan Malaysia

PBB perlu campur tangan desak gencatan senjata di Semenanjung Gaza

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa agar memberi tekanan kepada pihak yang terlibat dalam konflik di Semenanjung Gaza supaya melakukan gencatan senjata bagi menghentikan pertumpahan darah.

Bekas Menteri Luar, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, beliau amat terkejut melihat masyarakat antarabangsa tidak melakukan apa-apa dan tidak memberi tekanan kepada pihak yang terlibat untuk melakukan gencatan senjata demi melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah dalam konflik tersebut.

“Pertempuran di Semenanjung Gaza itu adalah satu malapetaka kepada manusia kerana membabitkan pertumpahan darah yang berterusan hingga memperlihatkan angka kematian meningkat setiap hari.

“Saya menyeru agar keganasan yang berlaku dihentikan serta-merta, semua pihak harus melindungi keselamatan orang awam. Kegagalan dalam menyelesaikan konflik ini tidak boleh diterima dan menjadi satu cabaran yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah, yang juga Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah berkata, ketika nyawa manusia yang tidak berdosa di kedua-dua belah pihak menjadi korban, semua pihak harus menghentikan keganasan terutama terhadap wanita dan kanak-kanak.

Kata beliau, sebarang bentuk keganasan tidak seharusnya dibiarkan.

Menurutnya, beliau memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada penyelesaian bagi kedua-dua negara iaitu Palestin dan Israel boleh menjadi negara merdeka di kawasan sempadan yang diiktiraf antarabangsa berdasarkan Resolusi PBB No. 242 dan 338.

“Saya percaya rakyat biasa di kedua-dua negara, Palestin dan Israel mahu menjalani kehidupan dengan aman, menjalankan tugas harian mereka dan hak mereka dilindungi berbanding daripada hidup dalam keadaan sentiasa diancam oleh keganasan,” katanya.

Kesimpulannya, komitmen beliau terhadap prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa mendorongnya untuk menyokong langkah penyelesaian yang adil dan berkekalan dalam menangani konflik Israel-Palestin berkenaan.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu bersatu bagi mendesak agar penyelesaian sebegitu boleh dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya