Pastikan segala saranan jawab keperluan masyarakat, negara - Utusan Malaysia

Pastikan segala saranan jawab keperluan masyarakat, negara

FADILLAH Yusof menerima buku Laporan Akhir Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional daripada Mohamed Khaled Nordin pada majlis perasmian penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal (kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) terutama yang memberi manfaat kepada rakyat dan sektor pendidikan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara dasar, beliau amat menyokong segala bentuk reformasi yang ingin dilaksanakan untuk terus maju ke depan, apatah lagi dalam konteks pembangunan negara yang merdeka dan mampan dari segi percambahan intelek, pembangunan modal insan dan penguasaan ekonomi.

“Saya dapati Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menterjemahkan kerangka besar Ekonomi Madani ke dalam konteks ruang lingkup fungsi dan peranan KPT dalam sektor pendidikan tinggi menerusi satu Nota Jemaah Menteri yang diangkat pada Ogos lepas.

“Dalam agenda untuk memperkukuh tata kelola dan penyampaian perkhidmatan, KPT melaksanakan Reformasi Pendidikan Tinggi dan salah satunya adalah penubuhan NRC,” katanya dalam ucapan sempena Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di KPT dekat sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut Anwar berkata, cadangan NRC untuk mempunyai sistem digital yang bersepadu membolehkan kita mendapat maklumat terkini kemajuan keseluruhan dan sistem pentadbiran pendidikan tinggi di seluruh negara, terutamanya dalam membantu pembuatan keputusan di peringkat tertinggi.

Katanya, NRC turut mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan yang mana Universiti Awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

Dalam pada itu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan NRC digerakkan oleh 16 ahli jawatankuasa yang dianggotai pegawai KPT serta ahli akademik dengan dipengerusikan oleh Datuk Seri Idris Jala.

Jelas beliau, jawatankuasa itu turut dibantu oleh sekumpulan perunding yang diketuai oleh PEMANDU Associates yang memberikan khidmat secara pro-bono.

“Proses semakan ini secara umumnya meliputi penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategik serta garis panduan berkaitan dengan pendidikan tinggi. Semakan turut dilakukan ke atas proses kerja semasa jabatan dan agensi-agensi KPT.

“Sepanjang tiga bulan pasukan ini bertungkus lumus, seramai 200 peserta yang mewakili 115 organisasi dilibatkan dan sebanyak 874 isu dikenal pasti di peringkat awal. Setelah diteliti dan diperhalusi, 58 cadangan penambahbaikan utama telah dibentangkan kepada kementerian, namun kesemua saranan ini masih belum dimuktamadkan.

“Maka, hari terbuka ini dianjurkan sebagai satu proses kritikal untuk memastikan segala saranan tersebut bukan sahaja bersifat praktikal dan bermakna kepada pendidikan tinggi negara, namun benar-benar menjawab keperluan masyarakat dan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, antara tindakan awal yang dimulakan oleh KPT adalah menubuhkan Unit Pengurusan dan Penyampaian Pendidikan Tinggi (HEAD) sebagai unit pemantauan peringkat kementerian yang bertanggungjawab memastikan segala dasar, mandat dan perubahan dijayakan dengan sebaiknya.

“KPT juga telah mula meringkaskan pelbagai proses kelulusan dan tadbir urus universiti dan institusi di bawah KPT agar dapat bergerak dan bertindak dengan lebih pantas dan cekap serta pelaporan juga akan dibuat terus kepada YB Menteri KPT,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Unit Pengurusan dan Penyampaian Pendidikan Tinggi atau HEAD, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub, unit berkenaan ditubuhkan bertujuan untuk memantau dan melihat pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan cadangan yang dikemukakan oleh NRC.

Katanya, ini kerana Mohamed Khaled mahu segala bentuk pelaksanaan dipantau rapi bagi memastikan ia benar-benar dilaksanakan serta dijayakan dan bukan di atas kertas semata-mata.

“Kita akan melihat berdasarkan kepada KPI atau cadangan yang telah dinyatakan dalam laporan NRC dan termasuk pelaksanaan perkara-perkara baharu. Unit ini tidak menetapkan sebarang bentuk tindakan yang perlu diambil, tetapi ia (akan) ditentukan oleh menteri dan juga cadangan NRC, kita hanya melihat dan memastikan bahawa ia dilaksanakan,” katanya.

Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Dasar dan Penyelidikan KPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood pula berkata, unit tersebut mempunyai peranan yang besar dan penting dalam memantau dan melakukan intervensi terhadap sebarang dasar berkaitan pendidikan tinggi.

NRC membentangkan lapan syor tumpuan menerusi tiga tema utama bagi menghasilkan perubahan iaitu penciptaan sistem berprestasi tinggi yang mampan, penciptaan nilai untuk pelajar dan pembangunan bakat dan penciptaan tadbir urus yang tangkas.

Ia termasuk mengenal pasti tujuh tema umum yang menjadi penghalang kepada perkembangan sistem pendidikan tinggi negara antaranya peraturan ketat yang mengekang perkembangan, proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan birokrasi serta ketidakselarasan keperluan industri dan kurikulum akademik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN