Pas sertai Kerajaan Perpaduan, UMNO, DAP akan ‘disucikan’

Pas sertai Kerajaan Perpaduan, UMNO, DAP akan ‘disucikan’

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO menyenaraikan tujuh ‘kebaikan’ jika seterunya, Pas menyertai Kerajaan Perpaduan termasuk DAP dan parti itu akan disucikan daripada fatwa serta label negatif seperti dilemparkan sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘kebaikan’ pertama Pas menyertai Kerajaan Perpaduan adalah tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong parti itu yang mengkafir atau menyesatkan mana-mana pihak terutama terhadap mereka yang berbeza ideologi.

Katanya, tiada lagi isu Islam dan Melayu terancam seperti yang sering dilaungkan Pas di dalam pelbagai media dan pentas ceramah.

“DAP sekali lagi akan ‘disucikan’ dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika mereka bersama dalam gabungan untuk hadapi PRU (Pilihan Raya Umum) 1999, 2004 dan 2008.

“UMNO akan kembali dibersihkan dan tiada lagi kata nista, label-label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran yang dikaitkan dengan binatang apabila sudah kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan dalam kerjasama Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, kehadiran Pas ke dalam Kerajaan Perpaduan juga menyebabkan tiada lagi istilah Malaysia menuju negara sekular kerana bersekongkol dengan parti DAP yang dilabelkan ‘kafir’ dan sekular. 

“Tiada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama yang mempunyai orang Melayu Islam seperti UMNO, Amanah dan PKR yang akan dilabel ‘Barua DAP’, ‘Penjilat DAP’ atau label-label ‘kafir’, ‘toghut’ dan sebagainya apabila Pas sertai Kerajaan Perpaduan.

“(Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim akan kembali dijulang Pas sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana waktu PRU ke-10, ke-11 dan ke-12,” katanya.

Kenyataan itu dimuat naik Asyraf Wajdi bagi mengulas kenyataan terbaharu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang disifatkannya menarik.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan memaklumkan bahawa Pas belum terima tawaran rasmi untuk menyertai Kerajaan Perpaduan manakala Tuan Ibrahim pula dilaporkan berkata sudah tidak lama lagi untuk parti itu kembali ke Putrajaya.

“Semua di atas pastinya akan menurunkan suhu politik negara yang memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat kerana tiada lagi politik fitnah, politik tohmah, politik adu-domba yang merugikan dan memudaratkan,” kata Asyraf Wajdi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN