ARAU: Pas menyifatkan lima pemimpin tertinggi parti itu masih mampu membawa peranan dan tanggungjawab parti sekali gus menolak dakwaan ketandusan barisan pemimpin pelapis.
Pemimpin-pemimpin berkelayakan dan muda seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara yang sudah dipersiapkan untuk mengetuai barisan kepemimpinan pada masa depan.
Sebagai contoh, Tuan Ibrahim yang cukup sesuai menggantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti pada masa depan dan pemimpin muda lain yang berpotensi.
Pas berbeza dengan parti-parti lain yang mahu merebut jawatan khususnya dalam pemilihan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, jawatan ‘Top 5’ tidak berlaku pertandingan kerana tidak ada pemimpin yang mahu bertanding kerana mereka masih memberi kepercayaan kepada barisan kepemimpinan tertinggi parti.
Katanya, situasi tersebut berbeza dengan UMNO yang melarang pertandingan dua jawatan tertinggi sedangkan Pas terbuka namun tidak ada yang mahu bertanding.
Ujarnya, kalau dilihat, setiap kali pemilihan Pas tidak ada sebarang perebutan berlaku berbeza dengan parti lain, sekali gus menunjukkan perpaduan yang cukup kuat di dalam parti.
“Sebenarnya ramai pelapis di dalam Pas dan apabila tiba masa akan tampil ke depan. Secara peribadi antaranya, Tuan Ibrahim iaitu pada masa depan layak mengetuai parti.
“Jadi tidak timbul isu Pas ketandusan pemimpin sebaliknya dalam Pas ini tidak merebut jawatan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Menurut Takiyuddin, lima jawatan itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih teraju kepimpinan Pas daripada Allahyarham Datuk Dr. Fadzil Noor pada 2002, sekali gus menjadi pemimpin nombor satu paling lama menyandang jawatan berkenaan.
Malah, Tuan Ibrahim pula memegang jawatan Timbalan Presiden Pas sejak 2015.
Tambah Hashim, lazimnya Timbalan akan menggantikan Presiden apabila tiba masanya seperti Abdul Hadi mengambil alih teraju kepimpinan daripada Allahyarham Fadzil Noor. – UTUSAN










