(PARLIMEN) PAC dedah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta telah luput - Utusan Malaysia

(PARLIMEN) PAC dedah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta telah luput

MAS Ermieyati bercakap kepada pemberita berhubung laporan jawatankuasa berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di bawah KKM yang dibentang di Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati masih terdapat sejumlah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta telah luput sejak 1 Jun 2023.

Hal ini walaupun tarikh luput hayat telah dipanjangkan sehingga 18 bulan dari tarikh vaksin itu dihasilkan. 

PAC juga mendapati berlaku percanggahan keterangan antara Kementerian Kesihatan dan Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB), berkaitan kewujudan waranti kesemua 136 unit ventilator. 

Selain itu, sebahagian besar peralatan perlindungan diri (PPE) akan dapat digunakan sebelum tarikh luput, walaupun terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada hujung tahun 2024 bernilai RM927,000 jika tidak dapat digunakan. 

PAC percaya, jika jumlah stok itu dapat dikurangkan, maka nilai kerugian kepada KKM juga akan berkurang. 

Demikian antara rumusan yang terkandung di dalam laporan jawatankuasa PAC, berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di bawah KKM yang dibentang di Parlimen hari ini. 

Laporan prosiding itu telah dimuat naik di laman sesawang PAC bermula hari ini. 

PAC dalam laporan itu menjelaskan, disebabkan situasi luar biasa dihadapi dunia ketika itu, perolehan darurat telah dilaksana untuk mendapatkan bekalan vaksin, ventilator, PPE dan kelengkapan lain bagi menangani penularan wabak Covid-19. 

“Perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksana di luar kebiasaan iaitu melalui aplikasi Whatsapp, kerana kekangan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi ketika itu.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator tetapi PLSB telah diarah untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi ventilator kerana hubungan sedia ada di antara KKM dan PLSB,” katanya.

Jelas laporan itu, ketiadaan perjanjian bertulis di antara Kementerian Kesihatan dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan, berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi. 

“Sehingga kini, ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu ini mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksana.

“Selain itu, KKM telah melaksanakan perolehan vaksin berdasarkan unjuran keperluan vaksin, namun, berlaku lebihan vaksin disebabkan penurunan permintaan terhadap vaksinasi, kelewatan penerimaan bekalan vaksin dan penerimaan sumbangan vaksin dari negara luar.

Sementara itu, PAC dalam laporannya mengesyor supaya kerajaan mengambil kira segala pengalaman yang telah dilalui dan pegawai pengawal perlu memastikan kepentingan awam sentiasa dipelihara semasa perolehan darurat.

Katanya, dokumentasi hendaklah dilaksana dengan usaha wajar walaupun berhadapan dengan keadaan darurat manakala KKM perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit peralatan ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil. 

“Kementerianh Kesihatan hendaklah memastikan lebihan PPE dimanfaat sebaiknya sebelum tarikh luput. Kerajaan seharusnya memainkan peranan dalam memastikan industri tempatan berupaya menghasilkan peralatan perubatan serta farmaseutikal.

“Ini bagi mengelakkan kebergantungan kepada negara luar dalam memperkasa sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media di Parlimen hari ini berkata, PAC telah mengadakan empat prosiding berhubung isu tersebut pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu. 

Saksi-saki hadir di hadapan PAC ialah bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Kang Siong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Datuk Seri Norazman Ayob, bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Chen Chaw Min; bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan bekas Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. 

Saksi prosiding dari Pharmaniaga ialah bekas Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran; Pengerusi, Izaddeen Daud dan Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman. 

Kapsyen gambar: MAS Ermieyati bercakap kepada pemberita berhubung laporan jawatankuasa berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di bawah KKM yang dibentang di Parlimen hari ini. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya