PETALING JAYA: Gamuda Land mengalu-alukan lebih banyak penyewa baharu di twentyfive7 Kota Kemuning, seiring dengan objektif pembinaan pembandaran itu dalam membentuk kehidupan komuniti yang lebih terancang.
Pengurus Besar twentyfive7, Suzan Ong berkata, penambahan untuk penyewa dan peruncit di bandar tersebut diyakini dapat mengukuhkan visi persekitaran yang lancar.
“Dengan lebih banyak kemudahan yang diperkenalkan oleh para penyewa, ia membolehkan penduduk menikmati kesemuanya dalam satu bandar termasuk pusat membeli-belah, tempat makan, kemudahan pendidikan dan hab komersial,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pusat beli-belah utama di twentyfive7, iaitu Quayside Mall berjaya berkembang dengan lebih maju apabila menawarkan penyewaan hampir penuh dan melayani kira-kira 600,000 pengunjung setiap bulan.
Katanya, penyewa utama seperti Jaya Grocer, Harvey Norman, MBO Cinemas, Rong Cuisine dan Mr DIY telah menjadi bahagian penting dalam ekosistem pusat beli-belah yang bertenaga itu.
“Baru-baru ini, twentyfive7 mengalu-alukan penambahan penyewa baharu di Quayside Mall, termasuk Jungle Gym, Mini Studio, Cross Kitchen dan Red Spice.
“Pengenalan Pusat Servis 3S pertama Toyota di pusat beli-belah itu juga menggariskan keyakinan Toyota terhadap potensi twentyfive7,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebagai pusat IGCSE Cambridge yang terkemuka, Good School di twentyfive7 akan menubuhkan kampus sekolah antarabangsa terbaharu mereka.
Jelas beliau, kampus terbaharu itu yang akan dikenali sebagai The Good International School akan ditubuhkan pada September 2024.
“Kampus antarabangsa itu bakal menawarkan program persekolahan yang lebih komprehensif dan menetapkan standard tinggi untuk pendidikan dalam masyarakat.
“Dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada di Quayside Mall, termasuk padang bola sepak, kampus tersebut akan dibina menjangkau lebih 50,000 kaki persegi,” katanya.-UTUSAN










