PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Palestin buat pertama kalinya mengeluarkan senarai nama 6,747 rakyatnya yang terbunuh dalam serangan tidak berperikemanusiaan yang dilancarkan rejim zionis sejak 7 Oktober lalu.
Bukan itu sahaja, kementerian sama turut mengeluarkan senarai nama 2,665 kanak-kanak berusia antara bawah setahun sehingga 17 tahun yang menjadi mangsa serangan ganas rejim zionis.
Tindakan mengeluarkan senarai nama mangsa-mangsa serangan bedilan bom dan roket zionis itu dipercayai dikeluarkan susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang dilaporkan meragui jumlah korban rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin, akibat serangan pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Walaupun mengakui terdapat orang awam yang tidak bersalah terbunuh di Gaza sejak pencerobohan rejim bermula, Biden bagaimanapun tidak yakin bahawa jumlah yang dikemas kini kementerian itu adalah benar.
“Saya tidak pasti bahawa rakyat Palestin bercakap benar mengenai berapa ramai yang terbunuh. Cuma, saya pasti orang yang tidak bersalah dibunuh.
“Ia adalah harga yang harus dibayar kerana melancarkan perang. Saya fikir Israel harus berhati-hati untuk memastikan mereka mengejar pihak yang menyebabkan perang terhadap Israel.
“Ia bertentangan dengan kepentingan mereka apabila itu tidak berlaku. Tetapi, saya tidak yakin dengan jumlah yang digunakan oleh rakyat Palestin,” katanya.
Berdasarkan senarai yang dikongsikan Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh kepada Utusan Malaysia, terdapat empat warga emas berusia 90 tahun ke atas maut dalam serangan tersebut manakala ratusan lagi mangsa adalah bayi berusia dua tahun ke bawah.
Sementara itu, Abu Ayesh turut memaklumkan setakat hari ini seramai 32 wartawan tempatan terbunuh dalam serangan dilancarkan rejim zionis di Semenanjung Gaza.
Beliau yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Palestin berkata, rejim zionis mengatakan bahawa serangan bertali arus ke atas Gaza adalah berpunca daripada pejuang Hamas namun ia hanyalah alasan untuk pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin.
“Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, 110 orang terbunuh dan 1,900 lagi cedera akibat tembakan Israel di Tebing Barat sejak 7 Oktober sehingga hari ini. Di sana tidak ada Hamas,” katanya. -UTUSAN