TASEK GELUGOR: Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam juga dikenali sebagai Taman Rekreasi Air Itam, merupakan kawasan hutan paya air tawar berkeluasan lebih 10 hektar di Seberang Perai di sini.
Selain menjadi tempat rekreasi, lokasi itu juga tumpuan penggemar burung, pemancing dan mereka yang mahu meneroka keindahan alam semula jadi dengan lebih dekat.
Bagaimanapun, difahamkan, sejak lebih setahun yang lalu, kawasan tersebut tidak ‘dipedulikan’ atau dipandang sepi, meskipun masih menerima kunjungan orang ramai khususnya mereka yang ingin beriadah pada waktu pagi dan petang.
Tinjauan Mingguan Malaysia turut mendapati, beberapa kemudahan di situ tidak diselenggara dengan baik.
Sebagai contoh, jambatan gantung atau titi hayun sepanjang 100 meter yang terputus tidak dibaiki dan dibiarkan begitu sahaja.
Tiada papan tanda amaran diletakkan dan hanya seutas tali diikat merentangi jambatan berkenaan bagi menghalang pengunjung daripada meneruskan perjalanan sekali gus mengundang bahaya kepada kanak-kanak atau sesiapa sahaja yang melalui jambatan berkenaan.

Selain itu, pokok-pokok yang ditebang atau tumbang akibat angin kuat tidak dialihkan sepenuhnya daripada laluan pejalan kaki. Malah, ada pengunjung dilihat dengan sengaja membuang sampah merata-rata meskipun terdapat tong sampah disediakan.
Warna cat pada laluan pejalan kaki juga kelihatan pudar dan kusam. Ada pemegang tali di sepanjang laluan tersebut hampir putus akibat ditimpa pokok yang tidak dialihkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff yang berkesempatan mengunjungi taman rekreasi itu sebelum ini turut mengakui keadaan tersebut.

Menurut beliau, ketiadaan penyelenggaraan berkala taman itu bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada pengunjung, malah boleh dianggap pembaziran yang besar kepada wang kerajaan negeri.
“Kita tahu Taman Rekreasi Air Itam ini antara destinasi menarik di Pulau Pinang khususnya di SPU (Seberang Perai Utara).
“Sayang sekali kalau tempat secantik ini tidak diselenggara dengan baik kerana bagi saya, kemudahan yang ada di sini seperti tandas dan pondok rehat semua sudah lengkap.
“Cuma, ia perlu diselenggara secara lebih kerap dan konsisten,” katanya berharap kerajaan negeri khususnya melalui Jabatan Perhutanan dapat menyelenggara dengan baik kawasan rekreasi berkenaan.
Sementara itu, seorang pengunjung, Peter Loh, 51, berharap pihak berkenaan dapat menyelenggara kawasan rekreasi tersebut untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
“Jika kawasan ini masih dalam penyelenggaraan, sepatutnya pengunjung tidak dibenarkan masuk atau setidak-tidaknya, papan amaran diletakkan di kawasan yang berisiko agar tidak terjadi sesuatu yang buruk,” katanya. – MINGGUAN










