KUALA LUMPUR: Pemilihan parti yang bakal berlangsung meletakkan PKR di ambang bahaya sekiranya bibit perpecahan berlaku disebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli itu sendiri ekoran perebutan jawatan Timbalan Presiden.
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kepimpinan parti seharusnya membuat satu formula untuk mengekalkan gandingan Datuk Seri Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai pelapis kepimpinan parti pada masa akan datang.
“Ketiga-tiganya mempunyai kelebihan, Datuk Seri Saifuddin Nasution meskipun tidak bertanding sebenarnya mempunyai keupayaan memimpin secara stabil dan mempunyai pengalaman besar sejak parti dibangunkan sehingga kini, dia ada kemampuan memimpin parti.
“Namun kelemahan besarnya adalah kurang popular dalam kalangan parti dan sokongan akar umbi, dia tidak ada pengaruh sesiapa mahupun keluarga, maka sebab ituapa bila dia bertanding, dia susah menang.
“Untuk Rafizi, walaupun dia agak bijak, tetapi corak bekerja dia kadang kala agak beremosi, ini yang menjadikan sesetengah pihak tidak suka dia. Bagaimana pun, ini antara pemimpin yang patut dijaga sebagai kesinambungan parti nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Rafizi dicabar oleh Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu hujung bulan ini, namun Saifuddin tidak bertanding bagi mana-mana jawatan.
Tian Chua berkata, dalam keadaan parti yang kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, seharusnya kesepakatan PKR perlu lebih diperkukuh dalam mencari titik kebersamaan malah tidak menjadikan pemilihan sebagai bibit perpecahan dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.
“PKR sebenarnya masuk dalam keadaan yang sangat bahaya sebab kalau ia tidak dikawal dengan betul, jika separuh daripada parti iaitu Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) dan kemnya mungkin akan keluar parti, jadilah parti mak, ayah dan anak dia sahaja.
“Saya tidak bercakap ia akan menjadi nepotisme kerana bukan semua dalam keluarga (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendapat keuntungan atau mendapat jawatan, tetapi maksudnya, parti akan hilang bakat sebab setiap kali pemilihan, ada sahaja pemimpin yang bagus akan hilang.
“Bayangkan, dulu Datuk Zaid Ibrahim, arwah Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Azmin Ali semua tinggalkan parti, mungkin selepas ini Rafizi. Siapa lagi dan apa yang tinggal pada parti selepas ini?,” soalnya.
Melihat kepada persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden, Tian Chua berkata, Nurul Izzah dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang, sementara Rafizi perlu berusaha lebih untuk mempertahankan jawatan berkenaan.
“Walau apa pun cara, siapa pun termasuk Nurul Izzah ingin mengambil alih peranan jawatan nombor dua terpenting dalam parti, dia memang perlu diuji melalui pemilihan dan tidak juga boleh terus bergantung kepada pelantikan sahaja. Dalam hal ini, Nurul Izzah akan mendapat mandat daripada akar umbi, memang itu yang diperlukan.
“Namun, selepas beliau menang, siapa yang akan menjadi penyokongnya untuk menggerakkan setiap hala tuju yang ingin dilakukan untuk parti?,” soalnya lagi. – UTUSAN








