TUMPAT: Walaupun sudah enam bulan sebahagian rumahnya runtuh akibat dihanyutkan arus deras banjir, ibu tunggal bersama dua anak dan kakaknya yang lembam di Kampung Jubakar Pantai di sini, belum menerima bantuan untuk membina kediaman baharu.
Noraini Nawi, 38, berkata, dia dimaklumkan oleh pihak berkenaan namanya sudah ada dalam senarai penerima bantuan rumah, namun sehingga sekarang belum menerima bantuan berkenaan.
“Saya masih lagi berlindung di rumah yang runtuh ini, sedangkan jiran-jiran lain sudah tinggal selesa apabila rumah (mereka yang rosak) sudah dibaiki.
“Ada dua kategori bantuan untuk mangsa banjir di sini. Rumah yang rosak akibat banjir dibaiki manakala rumah yang runtuh dimaklumkan menerima bantuan sebuah rumah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kampung itu, semalam.
Noraini berharap ada pihak membantu membina semula rumahnya untuk dia dan anak-anak meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Katanya, dia terpaksa bertahan di rumah sedia ada akibat masalah kewangan dan pendapatan sebanyak RM400 sebulan yang diperoleh hasil mengambil upah mengasuh kanak-kanak tidak cukup menyewa kediamanan lain.
“Walaupun sedar bahaya boleh berlaku pada bila-bila masa, namun kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa bertahan di sini. Upah yang saya terima hanya cukup untuk menampung kos hidup kami sekeluarga,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang ibu tunggal bersama dua anak serta kakaknya yang lembam terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumahnya yang runtuh selepas dihanyutkan arus banjir hujung tahun. – MINGGUAN











