GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli amat berharap peruntukan RM333 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 dapat membantu melonjakkan lagi taraf hidup mereka ke arah lebih baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, pada masa sama pihaknya turut berharap kemudahan asas seperti jalan perhubungan, air bersih, bekalan elektrik dan talian telekomunikasi dapat dinaik taraf menerusi belanjawan tersebut.
“Saya berharap kerajaan akan lebih menumpukan Orang Asli di pedalaman daerah ini yang belum lagi menikmati kemudahan seumpama itu. Kita sudah berada di tahun 2023, tetapi jurang kemudahan amat jauh berbanding penduduk kawasan bandar.
“Kami turut berharap projek jalan bersepadu juga perlu dinaik taraf segera kerana sering mengalami kerosakan teruk seperti di Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau dan Pos Simpor,” katanya.
Bidi memberitahu, masyarakat Orang Asli sudah penat untuk berdepan dengan masalah jalan rosak terutamanya ketika musim tengkujuh apabila terpaksa mengharungi jalan balak yang rosak.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, peruntukan tersebut merangkumi antaranya kemudahan ameniti sosial, program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup dan pembangunan di perkampungan Orang Asli.
“Kita akan lihat aspek infrastruktur, pembangunan ameniti sosial seperti naik taraf dewan, jalan perhubungan desa dan bantuan ekonomi bagi menambah pendapatan masyarakat Orang Asli. Selain itu, bantuan daripada aspek pertanian dan masalah bekalan air juga berada dalam skop Jakoa,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat, komuniti Orang Asli diperuntukkan RM333 juta berbanding RM305 juta. – UTUSAN










