Onn Hafiz gesa rakyat Johor terus bersolidariti bersama Palestin

Onn Hafiz gesa rakyat Johor terus bersolidariti bersama Palestin

ONN Hafiz (dua kiri) berbual bersama penuntut UTM dari Palestin dalam satu majlis yang diadakan di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk terus menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang diperangi rejim zionis ketika ini.

Menurut beliau, sokongan masyarakat awam seluruh dunia penting bagi menunjukkan solidariti kita yang tidak bersetuju dengan tindakan Israel yang berterusan menindas rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.

Menurut beliau, dianggarkan seramai 7,028 rakyat Palestin telah dibunuh secara kejam manakala hampir 19,000 lagi cedera sejak 7 Oktober lalu.

“Mereka yang terkorban itu terdiri daripada kanak-kanak seramai 2,913 orang; wanita (1,709 orang) dan warga emas (397).

“Tidak cukup dengan itu, seramai 1,650 laporan orang hilang, termasuk 940 kanak-kanak. Malah 12 hospital dan 32 pusat penjagaan juga tidak dapat beroperasi.

“Dilaporkan seramai 2.3 juta penduduk Gaza ketika ini telah kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Palestin yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.

Tambah Onn Hafiz, penuntut Palestin terbabit turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib keluarga.

“Namun mereka semua teguh dan yakin bahawa Palestin pasti dapat keluar daripada kemelut peperangan, penindasan dan pencerobohan yang sudah sekian lama menjerut rakyat mereka.

“Genjatan senjata perlu dilakukan segera dan keperluan makanan dan perubatan perlu dihantar bagi menyelamatkan mereka.

Ayuh seluruh Bangsa Johor. Bangkit dan terus menyatakan solidariti kita kepada rakyat Palestin. Teruskan bersuara dan mendesak pemimpin seluruh dunia untuk menoktahkan penderitaan ini.

“Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar segala kekejaman dan penindasan ini dihentikan segera,” jelasnya lanjut. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN