PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) hari ini memohon maaf kepada semua penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi luar jangka syarikat itu.
Eksekutif Interim, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu kini sedang mempercepat proses bayaran balik wang.
Justeru beliau berkata, mereka yang terjejas diharap dapat bersabar.
“Kami juga sedang dalam usaha mewujudkan talian hotline bagi membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik dan memudahkan proses bayaran balik.
“Mereka (penumpang) digalakkan untuk menyediakan nombor tempahan mereka (PNR) dan sila e-mel kepada kami di [email protected],” katanya dalam kenyataan.
MYAirline sebelum ini mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh yang diberitahu.
Keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
Berhubung status kakitangan MYAirline, Azharuddin berkata, semua pekerja syarikat itu masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.
Berkenaan perkongsian strategik, beliau berkata, beberapa pihak menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat sedang menilai cadangan tersebut.
“Kami akan terus memberikan maklumat terkini kepada penumpang yang kami hargai dan juga pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










