SHAH ALAM: “Kerajaan pada hari ini bersifat double standard sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih dikepung serta dipenjara semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.”
Demikian dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian dimeterai selain melanggar sumpah yang diikrarkan.
“Sikapnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas – Perikatan Nasional (PN yang merupakan pembangkang bagi mereka, menjadi bukti yang nyata secara khusus sejak zaman-berzaman.
“Keadaan ini terjadi kerana kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan, dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masingmasing.
“Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah,” dakwanya.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata, Pas meneruskan hala tuju dan pendekatannya dengan meletakkan jaminan kepada seluruh rakyat sama ada kalangan Islam atau bukan Islam bahawa perjuangan Pas di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti itu serta PN bersama seluruh wakil rakyatnya wajib mengisi kemenangan sekadar bidang kuasa yang ada dengan melaksanakan tiga konsep penting.
Katanya, ia meliputi konsep adil, prihatin dan berkebajikan.
“Pengalaman berdepan dengan kerajaan Pusat yang berkonsepkan kleptokrasi (pencuri) dan kakistokrasi (tidak tahu memerintah) yang berlagak dengan kuasa yang dimiliki, tetapi tidak tahu mengurus dengan adil, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita,” katanya. – UTUSAN










