Muktamar: Ahli Pas jangan pilih taat arahan

Muktamar: Ahli Pas jangan pilih taat arahan

ABDUL Hadi Awang bersama bekas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Pas diingatkan tidak bersikap memilih dalam mematuhi arahan parti itu kerana ia boleh menjadi penghalang kepada mencapai kemenangan. 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perjalanan perjuangan parti itu perlu ditempuhi dengan penuh kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran bagi mengisi kemenangan seterusnya melangkah untuk mencapai kemenangan yang lebih besar dan sempurna. 

Katanya, ciri-ciri kemenangan yang disebutkan dalam ayat al-Quran ialah beriman, bersabar menghadapi ujian terhadap diri, bersabar menghadapi musuh dan melaksanakan tugas di tempat dan lapangan masing-masing serta bertaqwa kepada Allah. 

Selain itu, katanya, wajib taat dan wala’ kepada jemaah.

“Allah SWT menyelamatkan jemaah parti ini apabila mereka yang tidak wala’ dicampak keluar atau melompat sendiri keluar kerana kepanasan dengan kebatilannya. 

“Saya juga berpesan supaya jangan bersikap memilih untuk memberi ketaatan kepada arahan parti kerana penyakit ini boleh menjadi penghalang kepada kemenangan dan menyukarkan tugas mengisi kemenangan,” katanya ketika menyampaiakan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini, hari ini. 

Yang hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan PN yang lain serta wakil-wakil kedutaan asing. 

Abdul Hadi berkata, program pemerkasaan pentarbiahan syakhsiah dan jati diri pemimpin dan ahli juga amat penting bagi memudahkan perjalanan parti itu dalam mencapai kemenangan dan mengisi kemenangan. 

“Pemimpin dan ahli mesti mendalami ilmu Islam secara tafaqquh fi al-din (berilmu dan bijak memahaminya), mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, faham dan tidak tenggelam dalam perbahasan furu‘ (perkara cabang) yang mencetuskan masalah khilafiah (pertelingkahan) sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam parti dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN