JERANTUT: Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Aqil Naufal Zaharin, 11, yang sebelum ini bertongkat setelah kaki kirinya dipotong akibat jangkitan kuman ketika berusia tiga tahun kini bersemangat untuk ke sekolah setelah menerima sumbangan kaki palsu.
Kaki palsu itu diterima kanak-kanak terbabit Selasa lalu sumbangan kerajaan yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Aqil Naufal berkata, sebelum menerima kaki palsu, dia menggunakan tongkat untuk pergi sekolah sejak Tahun Satu dan bermain ketika di rumah.
“Semasa pergi dan balik dari sekolah termasuk menyertai aktiviti kokurikulum dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), bapa saudara saya yang menghantar dan mengambil dengan motosikal.
“Saya tidak menghadapi masalah menggunakan tongkat untuk bergerak, berlari dan melompat ketika bermain bola sepak di sekolah dan di rumah sebelum ini. Kini saya lebih bersemangat apabila menerima sumbangan kaki palsu” katanya di Felda Lepar Utara 4 di sini. Sejak namanya disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Muhammad Aqil Naufal yang merupakan anak yatim dan tinggal bersama bapa saudaranya, Abdul Mutalib Mat Desa terus tular di media sosial dan arus perdana serta mendapat pujian dan galakan dari orang ramai seluruh negara.
Muhammad Aqil Naufal berkata, sejak menerima kaki palsu, semangatnya semakin kuat dan tidak sabar untuk turun bermain dan berlatih bola sepak serta aktiviti kokurikulum bersama rakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara Satu.
“Emak membawa saya ke Kuala Lumpur dua hari lalu untuk mengambil kaki palsu selepas selesai program di Kelantan dan terus membawa balik serta mencuba memasang (memakai) dibantu oleh emak di rumah bapa saudara di sini.
“Nampaknya saya agak selesa bergerak selepas menggunakan kaki palsu ini buat pertama kali dan saya cuba menyesuaikan peralatan ini untuk ke sekolah dan bermain dengan rakan,” katanya.
Menurutnya, ketika permulaan menggunakan kaki palsu itu, suasana rutin kehidupannya berubah dan lebih selesa berjalan di dalam dan halaman rumah bapa saudaranya.
“Dua hari ini saya masih menggunakan tongkat ke sekolah kerana belum. dapat menyesuaikan penggunaan kaki palsu ketika masuk ke tandas untuk membuang air dan terpaksa memakai tongkat.
“Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan penggunaan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika berada di sekolah dan menyertai latihan bola sepak dan aktiviti kokurikulum pada sebelah petang,” katanya.
Sementara itu, Abdul Mutalib, 62, seorang peneroka Felda Lepar Utara 4 berkata, anak saudaranya itu begitu teruja dan gembira memakai kaki palsu buat pertama kali sambil berlari dan melompat dalam rumah.
“Kaki palsu memberikan keselesaan Muhammad Aqil Naufal bergerak di rumah dan sekolah. Pada peringkat awal menggunakan peralatan ini dia masih berhati-hati untuk menyesuaikannya,” katanya. -UTUSAN










