Mufti, agamawan penting kuasai media sosial - Utusan Malaysia

Mufti, agamawan penting kuasai media sosial

MOHD. Na’im Mokhtar melihat keratan akhbar mengenai kenyataan Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang dipamerkan di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Penguasaan media sosial dalam kalangan mufti serta ahli agamawan kini semakin penting supaya dapat memberi penjelasan terhadap apa-apa isu berkaitan agama menerusi platform tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini memandangkan masyarakat kini bergantung kepada kecanggihan media sosial untuk merujuk apa-apa perkara.

Beliau khuatir sekiranya golongan pakar agama enggan ke depan, maka ruang media sosial akan diisi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sekali gus berisiko menyebarkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Islam sesuai untuk tempat dan juga zaman. Dalam konteks sekarang, zaman ini adalah zaman teknologi. Sama ada kita suka atau tidak, ini memang zaman teknologi yang telah berubah begitu pantas.

“Jadi kalau golongan agamawan tidak mengambil pendekatan untuk mempelajari perkembangan media sosial yang begitu cepat bergerak, kita akan ketinggalan. Anak-anak muda terbiasa dengan teknik menerima apa sahaja yang disampaikan kepada mereka melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani yang diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof.

Berkenaan seminar yang diadakan, Menteri itu menyambut baik penganjuran tersebut apabila mengumpulkan para ilmuan bagi mengupas dan mengangkat kembali sumbangan serta pemikiran Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria.

Penganjuran tersebut bakal memperlihatkan pembentangan beberapa tajuk berkaitan kemajuan institusi Islam di negara ini yang melibatkan Allahyarham Harussani secara langsung dan tidak langsung.

Tambah Mohd. Na’im, beliau mengharapkan apa sahaja bentuk pemikiran dan sumbangan tokoh agama tersebut yang dibentangkan dalam seminar itu dapat dibukukan supaya menjadi karya penting untuk dibaca oleh masyarakat.

Allahyarham Harussani merupakan Mufti Perak untuk tempoh 36 tahun dari 1985 sehingga beliau meninggal dunia pada 30 Mei 2021 sewaktu dirawat kerana positif Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya