MOSTI tetapkan syarat baharu bagi operasi Lynas

MOSTI tetapkan syarat baharu bagi operasi Lynas

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menetapkan syarat baharu bagi membolehkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) terus mengimport dan memproses nadir bumi sehingga Mac 2026.

 Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pertimbangan baharu ini akan membenarkan aktiviti cracking and leaching (C&L) diteruskan.

 “Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah satu Becquerel setiap gram melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diterajui oleh pakar tempatan.

 “Keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dibuat berdasarkan dapatan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta 304,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai status terkini lesen operasi Lynas di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di sini, hari ini.

Minggu lalu, Lynas Rare Earths Australia mengumumkan rancangan untuk menutup sementara semua operasinya di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat nadir bumi campuran pada Disember. 

Syarikat itu berkata, ia akan melaksanakan peningkatan kepada operasi hilirannya di Lynas Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran neodymium-praseodymium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.

Lih Kang berkata, cadangan untuk mengekstrak torium daripada sisa radioaktif datang daripada Lynas sendiri selepas semakan kehakiman difailkan untuk dua syarat lesen operasinya pada Julai lalu.

“Pengekstrakan torium kini berada di peringkat makmal dan perlu ditingkatkan kepada bentuk perintis dan kemudian kepada pengkomersilan,” katanya.

Beliau juga berkata, syarat yang ditetapkan memenuhi hasrat untuk tidak terus menghasilkan sisa radioaktif serta menyelesaikan masalah sisa sedia ada.

“MOSTI yakin dengan perkembangan ini, operasi berkaitan menepati kawalan perundangan, melindungi kepentingan rakyat dan seterusnya negara akan mampu menarik pelaburan yang berbillion ringgit nilainya dalam industri nadir bumi tempatan bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi,” ujarnya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN